LONDON, 22 Ogos – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pasukannya sudah merasakan tekanan musim ini menjelang perlawanan timbal balik playof Liga Juara-Juara menentang Hoffenheim Khamis pagi.
Liverpool dilihat sudah selangkah ke peringkat kumpulan selepas mempunyai kelebihan 2-0 dalam perlawanan pertama minggu lepas di Jerman, hanya mendapati Mark Uth memperoleh satu gol bagi memberikan harapan buat Hoffenheim.
Juara Eropah lima kali itu memerlukan jaringan lewat Sadio Mane untuk menewaskan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana hujung minggu lalu dan Klopp menjangkakan satu lagi perlawanan sukar di Anfield pertengahan minggu ini.
“Kami semua mempunyai tekanan dan ia permulaan pantas seperti selalu,” kata Klopp, yang mara ke final Liga Juara-Juara bersama Borussia Dortmund pada tahun 2013.
“Anda perlu berada di sana serta-merta, menyudahkannya dan semua itu. Perbezaannya tahun ini adalah ia sangat sukar.
“Kami semua tahu perlawanan (menentang Palace), dua mata berbanding empat atau enam, ia tidak bagus, tetapi anda boleh menyelesaikannya.
“Anda tidak boleh lakukannya dalam kelayakan Liga Juara-Juara. Intensiti ini sangat sukar, bagi kedua buah pasukan.”
Klopp membuat lima perubahan dalam kesebelasan utamanya dalam kemenangan 1-0 ke atas Palace, dengan Andy Robertson, Ragnar Klavan, Joe Gomez, James Milner dan Daniel Sturridge tersenarai.
Setelah memulakan perlawanan di bangku simpanan, Dejan Lovren, Emre Can dan Mohamed Salah semuanya dijangka kembali dalam kesebelasan utama menentang skuad Julian Nagelsmann. – AFP