Tekankan pemikiran kritikal selesaikan pertelingkahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Penekanan kepada penggunaan pemikiran kritikal dalam menyelesaikan pertelingkahan di rumah dan di tempat kerja serta meningkatkan kesedaran mengenai budaya mikro dan perbezaan identiti dapat menggelakkan berlakunya pertelingkahan dalam pelbagai keadaan.

Penekanan itu antara yang diketengahkan oleh pembentang dan ahli Eksekutif Persatuan Brunei-Amerika Syarikat (BUSA), Adrina Agus Din Shannon semasa mengendalikan bengkel bertajuk Integrasi Pemikiran Kritikal dan Budaya Brunei dalam Kehidupan Profesional dan Peribadi Awda yang berlangsung di Avenue 41, Kiarong, hari ini.

Bengkel yang dihoskan oleh BUSA itu disertai oleh seramai 37 orang peserta yang terdiri daripada alumni program pertukaran Kedutaan Amerika Syarikat (AS), usahawan-usahawan tempatan dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.

Ia dikendalikan oleh Adrina Agus Din Shannon yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun sebagai seorang pendidik dan pada masa ini sedang mengajar di Sekolah Menengah Rimba II.

Bengkel itu mengetengahkan bahan-bahan yang diadaptasi daripada kursus dalam talian global, American English E-Teacher yang telah diikuti olehnya menerusi Pejabat Serantau Bahasa Inggeris Jabatan Negara AS.

Pada majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel, Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Daniel Lee dalam kata-kata penutupnya amat mengalu-alukan penganjuran bengkel yang memberikan peluang bagi perkongsian maklumat daripada ahli-ahli BUSA kepada para peserta bengkel bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai topik yang menarik.

Beliau juga berkata bahawa perkongsian topik dalam bengkel itu, mampu menjadi platform bagi para peserta dan juga pembentang bertukar-tukar pendapat dalam suasana yang kondusif.

Majlis kemudian menyaksikan Daniel Lee menyampaikan sijil penyertaan dan penghargaan kepada para peserta bengkel serta pembentang dalam bengkel berkenaan.

Daniel Lee menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel.
Adrina Agus Din Shannon ketika menyampaikan pembentangannya.