Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Teknik memburu MJ

    Oleh Raz AS

    Apabila disebut nama ‘MJ’ mungkin ramai yang akan mengaitkannya dengan nama raja pop legenda Michael Jackson atau legenda bola keranjang, Michael Jordon. Namun bagi kalangan peman- cing di rantau ini dan Australia, MJ lebih sinonim lagi dengan nama spesies buruan ramai, Mangrove Jack, yang juga dikenali di negara kita sebagai ikan ungah, atau siakap merah dan kakap merah di negara jiran.

    Antara faktor utama kegilaan pemancing untuk memburu MJ adalah tentangannya. Bermula daripada mencari lubuk, melontar umpan tepat ke tempat persembunyian MJ, cubaan memikat sehinggalah pertarungan hebat untuk menundukkannya, yang mana kemenangan tidak semestinya berpihak kepada pemancing.

    Apabila memburu MJ di muara, masalah utama yang pasti akan dihadapi oleh para pemburunya tentu sahaja tali pancing tersangkut atau putus. Mana tidaknya, kawasan-kawasan yang menjadi tempat persembunyian MJ selalunya di kawasan yang berstruktur atau heavy cover. Oleh itu, pemancing harus bersedia menghadapi situasi yang dikenali ramai sebagai ‘berulam’.

    Secara amnya, hobi memancing tidak perlu mahal namun bagi memburu MJ sebaiknya janganlah terlalu lokek untuk melabur sedikit wang. Kerana keagresifannya, mata kail, kili-kili, dan kemungkinan termasuk juga reel, yang terlalu murah boleh saja barai dikerjakannya, terutamanya bagi MJ yang bersaiz besar.

    Setelah keluar dari tempat persembunyiannya, dan menyambar makanan, MJ akan terus masuk kembali ke tempat persembunyian tersebut. Oleh itu sekiranya pemancing terlalai atau gagal mengekang pecutannya akibat peralatan yang tidak memadai kekuatan, peluang untuk mendaratkannya adalah amat tipis.

    Mangrove Jack, yang juga dikenali di negara kita sebagai ikan ungah atau siakap merah dan kakap merah di negara jiran. – Agensi
    Bagi set spinning, reel yang bersaiz 2500-3000 pun sudah mencukupi sama ada dari segi keperluan panjang tali dan kekuatannya. – Agensi

    MJ boleh saja dipikat menggunakan umpan konvensional seperti udang atau ikan kembura, dan juga menggunakan umpan tiruan yang tentu sahaja lebih menyeronokkan dan memberi lebih banyak kepuasan kepada pemancing.

    Kebanyakan pemancing lebih suka menggunakan set kombo baitcaster bagi membolehkan mereka untuk mencampakkan umpan tepat ke sarang MJ. Namun begitu set kombo spinning juga adalah memadai dan lebih senang digunakan bagi kebanyakan pemancing.

    Bagi pilihan joran, sekurang-kurang berkekuatan 3-5kg atau medium power, dengan aksi fast yang memiliki hujung yang karau bagi mengekang lariannya. Manakala bagi pilihan reel pula tidak perlulah memilih reel yang boleh mengisikan tali yang banyak kerana MJ tidak akan memecut jauh. Sekiranya menggunakan set spinning, reel yang bersaiz 2500-3000 pun sudah mencukupi sama ada dari segi keperluan panjang tali dan kekuatannya.

    Manakala bagi tali utama pula, tali sulam atau braided line sesuai digunakan, dengan kekuatan 15-20lb. Kelebihan menggunakan tali sulam adalah bukan sahaja ia lebih sensitif, membolehkan pemancing bereaksi lebih tangkas sebaik saja umpan disambar, bahkan ia versatil digunakan untuk pelbagai jenis teknik.

    Sementara itu, penggunaan tali perambut, 20-40lb, daripada jenis mono atau flouro adalah diperlukan kerana ia lebih tahan geseran bergantung pada keadaan padang pancing.

    Sekiranya memancing di kawasan tembok batu atau tiang-tiang jambatan dan jeti yang mempunyai teritip tajam, penggunaan perambut yang lebih tebal adalah sangat digalakkan. Jangan takut menggunakan tali tebal kerana MJ bukan spesies ikan yang cerewat.

    Bercakap mengenai cerewet pula, MJ sama sekali tidak memilih umpan hidup atau mati mahupun tiruan pasti akan dibedalnya sekiranya melabuh tepat ke tempatnya.

    Bagi pilihan umpan tiruan, sama ada jenis keras mahupun soft plastic, saiz antara 3-5 inci sangat sesuai digunakan untuk memburu MJ pelbagai saiz.

    Teknik memburunya tidaklah susah. Jika memancing di kawasan tembok batu, umpan dilontar dan kira-kira 3-4 kaki dari tembok dan dipersembahkan di sepanjang tembok tersebut kerana selalunya MJ tidak jauh dari kawasan itu dan bersembunyi di celah-celah batu.

    Sementara itu, sekiranya kawasan berstruktur sepert reba, umpan dilontar dan difokuskan di kawasan tersebut, sebaik saja menjauh bolehlah digulung laju dan dilontar lagi di kawasan tersebut atau seterusnya.

    Manakala bagi struktur seperti tiang dan jeti, gulungan laju bolehlah digunakan untuk ‘memancing’ reaksi daripada MJ seolah-olah ia merasa akan terlepas makanannya sekiranya ia tidak menyambar serta-merta.

    Oleh sebab MJ suka menjadikan tempat berstruktur sebagai tempat persembunyiannya, pemancing bolehlah mencari tempat-tempat yang berpotensi sama ada dengan menggunakan sonar atau melawat kawasan yang ingin dipancing kemudian hari ketika air surut besar untuk melihat keberadaan struktur tenggelam di mana MJ berkemungkinan bersembunyi seperti pokok tumbang, reba, batu dan lain-lain.

    Tidak kiralah saiz kecil mahupun besar, MJ merupakan salah satu spesies ikan yang tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh pemancing yang baru pertama kali merasa tarikannya. Namun dalam keghairahan memburu MJ janganlah sampai bersifat tamak sehingga yang bersaiz kurang lebar tapak tangan pun hendak dibawa balik, amalkanlah sikap memancing yang beretika hindarilah mentaliti ‘poaching’, semuanya demi masa depan kita sebagai pemancing juga, jika tiada lagi ikan bersaiz kasar hendak diburu sayang saja membeli kail mahal-mahal.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...