PENULIS (Fadzli Yusof, pengarang buku ‘Kuasa Sukses’) percaya anda pernah mendengar Teknik SMART dalam menetapkan matlamat. Ia sudah dimulakan dalam Bahasa Inggeris dan sudah diolah ke Bahasa Malayisa dalam pelbagai versi. Penulis juga mempunyai versi tersendiri.
SMART bukan satu sains, ia sekadar menyusun idea dengan lebih menarik dan tersusun. Berikut adalah Teknik SMART versi penulis:
‘S’
Sejajar: Matlamat kita perlu sejajar dengan Sistem Diri (Nilai Universal + Konsep Diri + Sistem Kepercayaan)
Spesifik: Kita perlu tahu apa yang kita inginkan. Bagaimana melaksanakannya? Perincikan matlamat itu supaya menjadi lebih spesifik. Matlamat mampu jadi apa, siapa, bila, bagaimana, berapa lama, berapa banyak, dengan siapa, apa rasanya dan pelbagai lagi persoalan yang berlegar di sekitar matlamat itu.
Semangat: Matlamat yang berkesan adalah matlamat yang menaikkan semangat. Sesuatu matlamat perlu bersifat cabaran kerana ia tidak akan menjadi senang, yang sememangnya dalam kemampuan kita sebelum ini. Matlamat perlu dapat membangkitkan kemahuan dan keinginan kepada kita untuk bertindak. Matlamat juga perlu sesuatu yang merangsang dan mencabar kita serta menyebabkan kita rasa tercabar dan berusaha mencapainya.


‘M’
Mahu: Matlamat dan Sasaran adalah sesuatu yang kita mahu, bukan sesuatu yang kita tidak mahu. Fikirkan bagaimana menjadikan matlamat itu bersifat ‘tidak positif’ dan elakkan elemen negatif dalam menetapkan matlamat.
Mesti: Ia adalah kemestian. Anda sudah mewajibkan diri anda bagi melaksanakan matlamat itu. Anda mempunyai pilihan menentukan matlamat yang bagaimana tetapi selepas anda menetapkannya, maka ia bukan lagi pilihan. Ia kini menjadi tanggunggjawab. Ia sudah menjadi satu kemestian. Anda mesti putuskan sebarang keberangkalian untuk tidak melaksanakannya.
Motivasi: Matlamat yang baik adalah matlamat yang dapat mencetuskan motivasi. Rujuk semula perbincangan berkenaan ‘Semangat’.
‘A’
Analisa: Matlamat yang berkesan perlu didokong dengan analisis diri yang bernas. Ia termasuk analisis tujuan hidup dan Sistem Diri. Analisis dapat membantu dan membimbing seseorang itu membuat matlamat yang matang dna berkualiti.
Alami: Anda perlu mengalami matlamat anda, walaupun anda masih belum mengalaminya Ia adalah proses visualisi, sehingga anda merasai perasaan, suasana, respon, pemandangan dan emosi yang terkandung dalam matlamat yang sudah disempurnakan. Rujuk semula penerangan berkenaan ‘Spesifik’.
‘R’
Rasa: Matlamat yang baik dapat mencetuskan rasa yang diperlukan bagi membangkitkan komitmen yang membuak-buak. Rujuk semula perbincangan berkenaan ‘Semangat’ dan ‘Motivasi’.
Relevan: Matlamat yang dibuat mestilah relevan dengan tujuan penciptaan manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah Tuhan di muka bumi ini.
‘T’
Tahu: Kita perlu benar-benar mengetahui matlamat itu. Kita perlu benar-benar mengerti dan mengenali matlamat yang mahu kita capai. Rujuk semula penerangan berkenaan ‘Spesifik’.
Tanda Aras: Matlamat yang berkesan adalah matlamat yang mempunyai tanda aras, ataupun bukti yang menunjukkan bahawa kita sudah mencapainya. Ia mempunyai satu penunjuk tertentu, sekiranya kita sudah berjaya mencapainya, kita dapat mengetahuinya dengan jelas dan nyata.