Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik tangkap ketam guna jaring

    Jika anda ingin memancing ketam di kawasan pantai berpasir, anda seharusnya terlebih dahulu melihat jadual air pasang besar kerana ketika itu air bergerak pasang dan memenuhi kawasan yang berpasir menjadi kawasan yang agak dalam dan ketam pada kebiasaannya akan lebih menggemari bermain atau mencari makanan di kawasan tersebut hingga ke pantai.

    Bagi pemancing di pantai, sebaiknya mula memancing tiga jam sebelum air mula bergerak pasang penuh dan dua jam selepas air mula bergerak surut.

    Penggunaan rod yang sesuai adalah dari 12 kaki ke atas.

    Ia bertujuan adalah untuk spot balingan dan jatuhan jaring ketam Drone yang agak jauh dari pantai.

    Sebaik-baiknya jika di pantai terdapat jeti atau batu-batu pemecah ombak, ia memberikan kelebihan bagi para pemancing ketam untuk membuat lontaran lebih jauh dari kawasan pantai dan berpotensi untuk mendapatkan ketam yang lebih bersaiz besar dan banyak.

    Bagi pemancing di atas rumah rakit atau jeti, pilihan rod terpulang kepada pemancing sama ada mahu menggunakan rod surfcast 12 hingga 15 kaki atau rod bersaiz 6 hingga 10 kaki (mengikut kesesuaian tempat).

    Sebaiknya kaji dahulu jadual air kecil atau jadual air pasang berarus perlahan kerana jaring ketam Drone ini apabila berada di dalam dasar air masin ia akan mengembang dengan baik.

    Air pasang besar amat tidak sesuai digunakan semasa berada di atas jeti kerana arus air yang kuat serta laju akan menghanyutkan jaring tersebut biar pun batu pemberat yang besar digunakan sebagai pemberat namun akan menyebabkan jaring tidak betul-betul berada di dasar air laut.

    Saiz batu pemberat yang disyorkan bagi pemancing di pantai adalah bersaiz 6 begitu juga jika berada di atas rumah rakit atau jeti bergantung pada arus air.

    Umpan yang disyorkan adalah ikan sardin atau selayang. Namun umpan tersebut tidak semestinya segar sebaiknya pilihlah ikan yang agak lama sedikit kerana ketam amat tertarik pada umpan yang agak lama dan sedikit berbau hanyir. Selain itu umpan kulit ayam juga boleh digunakan untuk memancing ketam.

    Semasa umpan mula dikacau oleh ketam, di hujung rod akan berlaku sedikit pergerakan naik dan turun seperti memancing udang galah.

    Perkara utama sebelum mula menarik jaring dari dasar, biarkan dahulu jaring tersebut dikacau oleh ketam selama empat ke lima minit tujuannya adalah bagi memastikan ketam telah mula terperangkap di jaring dan jika anda menariknya dengan cepat, besar kemungkinan ketam tersebut boleh terlepas dari perangkap jaring. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda