Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Teknologi bantu BDMD ramal cuaca

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Kemajuan saintifik dan teknologi yang begitu pesat di abad ke-21 ini telah banyak menyumbang kepada kemajuan sains cuaca dan iklim.

    “Sekarang ini juga kita telah dapat menyaksikan peralihan kepada penggunaan kaedah kecerdasan buatan (AI) selain daripada penggunaan superkomputer bagi tujuan menjalankan simulasi pemodelan iklim kompleks.”

    Ini tambah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha (gambar), akan membolehkan untuk menambah baik ketepatan ramalan cuaca dan amaran awal.

    Dalam masa yang sama, kaedah-kaedah berkenaan juga telah membantu peningkatan keupayaan penyelidikan saintifik dalam pemantauan iklim global, tambah beliau dalam perutusannya sempena memperingati Hari Kaji Cuaca Sedunia 2023 dengan tema ‘Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentas Generasi’, hari ini.

    Menurut beliau lagi, kaedah AI itu merupakan salah satu kaedah yang diguna pakai dalam penyediaan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca di Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dengan menggunakan model cuaca iaitu Numerical Weather Prediction (NWP).

    “Melalui kaedah itu, ia telah dapat meningkatkan lagi ketepatan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan bagi Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.

    Selain itu, kaedah NWP juga digunakan dalam penyediaan tinjauan cuaca jangka panjang iaitu ramalan sehingga tiga bulan ke hadapan bagi membolehkan agensi-agensi berkepentingan membuat sebarang perancangan awal dan persediaan menghadapi cuaca-cuaca ekstrem seperti kejadian banjir, kemarau dan angin kencang.

    Sementara penggunaan kaedah NWP ini juga merupakan salah satu inisiatif BDMD dalam mendukung Plan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) iaitu dalam mematuhi Piawaian Keselamatan dalam Pengangkutan dan Sektor Infokomunikasi.

    Di samping itu, rangkaian pencerapan dan pemantauan cuaca yang komprehensif juga menyumbang kepada ketepatan ramalan cuaca dan amaran awal.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, kementeriannya melalui BDMD juga telah dan sedang giat mengungkayahkan beberapa projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 iaitu penggantian dan penaiktarafan sistem pemantauan radar cuaca iaitu Doppler Weather Surveillance Radar (DWSR), sistem rangkaian pemantauan cuaca automatik seluruh negara iaitu National Automatic Weather Stations (NAWS), dan sistem pencerapan cuaca automatik di Lapangan Antarabangsa Brunei iaitu Automatic Weather Observation System (AWOS).

    Dengan adanya inisiatif-inisiatif berkenaan, tambah beliau, setentunya boleh meningkatkan keupayaan BDMD dalam menyediakan ramalan cuaca dan amaran awal yang lebih tepat, yang dapat menyumbang ke arah keselamatan bagi operasi penerbangan awam, pertahanan, maritim dan juga untuk seluruh penduduk di negara ini.

    Ia juga dapat membolehkan kumpulan tindakan awal dan keselamatan untuk merancang dan membuat persediaan bagi menangani dan mengurangkan impak bencana yang disebabkan oleh cuaca, tambah beliau.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...