Teknologi bantu negara, perniagaan berdaya tahan

Oleh Aziz Idris

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Kecanggihan teknologi bukan sahaja menyumbang kepada usaha mengekang pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, malah ia juga membantu perniagaan berdaya tahan sekali gus mengembang luaskan inovasi dan kemantapan untuk berkembang maju.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Dialog Perniagaan anjuran Forum
Perniagaan British Brunei (BBBF) yang berlangsung di Hotel Radisson malam kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Dato, penggunaan teknologi inovatif terutamanya dengan pengenalan aplikasi BruHealth sebagai alat pemantau dan pengawalan pandemik serta platform mendidik, memastikan orang ramai terus menerima maklumat penting semasa pandemik.

“Dengan sekatan dikenakan semasa pandemik, penggunaan platform mesyuarat maya menjadi penting terutamanya ketika bekerja dari rumah, semasa tempoh pengasingan diri dan kuarantin,” tambahnya.

Dengan tajuk dialog BBF, ‘Business Unusual – What to Expect in 2021’, beliau percaya terdapat peluang signifikan bagi perniagaan berkembang pesat dan berinovasi, khususnya bagi perniagaan berkaitan industri penjagaan kesihatan atau perkhidmatan sokongan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan (kiri) dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa berucap pada dialog tersebut.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua ketika bergambar ramai semasa sesi dialog itu.

Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan menyambut baik dan menyokong peluang perniagaan khususnya berkaitan farmaseutikal, perubatan, teknologi penjagaan kesihatan dan sistem penjagaan kesihatan canggih.

Dalam pada itu, berkongsi sentimen sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, mengatakan pengalaman dan kepakaran sektor swasta menggunakan teknologi dan inovasi amat berharga dalam usaha pasca pemulihan pandemik dalam usaha memastikan peralihan ke arah era digital terangkum.

“Tidak disangkalkan lagi bahawa sektor swasta memainkan peranan signifikan dalam merangsang ekonomi, memajukan inovasi dan memastikan pasaran kita kekal terbuka dan bersaing.

Menurutnya, meskipun persetujuan dan kerjasama ekonomi dimeterai untuk membantu hala tuju agenda integrasi ekonomi negara kita, bagi sesuatu pembangunan itu benar-benar terangkum, ia memastikan satu pemahaman holistik dan mendalam mengenai keperluan dan permintaan ‘sebenar’, tambahnya.

Beliau menjangkakan dalam 2021 dan seterusnya, akan terdapat peningkatan dalam kerja-kerja pendigitalan. Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran, bagi merealisasikannya, ekosistem perlu bersedia dan kondusif.

Selain kedua-dua menteri, dialog BBBF turut menampilkan pengerusi BBBF, Yvonne Kuan dan ahli-ahli serta jawatankuasa eksekutif BBBF daripada pelbagai spektrum industri perniagaan berkaitan dari UK sehinggalah perbankan dan industri minyak dan gas serta pendidikan.