Teknologi bantu pekerjaan jadi lebih mudah dan efisien

Oleh Sim Y. H.

Penularan pandemik COVID-19 telah memberikan cabaran yang hebat kepada masa hadapan pekerjaan dan telah merubah cara kita melaksanakannya. Sehubungan itu, ia juga telah mempercepat perjalanan ke arah zaman baharu transformasi digital dan perubahan dalam inovasi.

Pada masa yang sama, perubahan yang berlaku telah mengancam mata pencarian dan sekuriti pekerjaan, jelas Pengerusi Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan ASEAN, Dayang Haslina Taib dalam ucapan alu-aluannya semasa Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, yang diadakan secara maya, Rabu lalu.

Tambah beliau memang difahami bahawa ASEAN mempunyai keupayaan untuk membangun bersama-sama, berkongsi kemahiran, peralatan dan rangka kerja serta mampu untuk berusaha ke arah kejayaan melepasi sempadannya sendiri.

Oleh itu, dalam dunia digital dengan sifat perniagaan dan pekerjaan terus berubah, Dayang Haslina berkata usaha kolaboratif dan kerjasama menjadi lebih penting kepada rantau dan juga negara masing-masing.

Sehubungan itu, ulasnya, meja bulat berkenaan diharap akan menyediakan peluang untuk memahami sifat perubahan masa hadapan pekerjaan, mengenal pasti kemahiran untuk dibangunkan serta meneroka strategi yang berlai nan bagi persekitaran pekerjaan pasca COVID-19 yang baharu dan jurang kemahiran bagi ASEAN Digital.

Hajah Farida mengongsi pendapat dan pandangannya dalam ucapan khas semasa Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, yang diadakan secara maya.
Dayang Haslina ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, yang diadakan secara maya.

Beliau seterusnya berkata bahawa adalah amat penting bagi komuniti ASEAN yang pelbagai budaya untuk menangani kesan budaya kemahiran yang baru muncul.

Kecerdasan budaya memainkan peranan yang besar dalam transformasi kerana ia merupakan motivasi bagi sesebuah tenaga kerja dan identiti kolektif sesebuah organisasi.

Sehubungan itu, jelasnya, adalah amat penting bagi kita untuk bekerja dengan para pemimpin dalam peralihan dan penyesuaian komuniti kerja ke dalam ruang kerja digital.

“Pelaksanaan ruang kerja digital telah memperbesarkan jurang kemahiran di antara generasi kakitangan dengan infrastruktur yang berlainan di dalam dan di pelbagai pasaran yang berbeza.”

Beliau menjelaskan bahawa perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, sekuriti siber dan Blockchain, semuanya mempersembahkan potensi yang besar bagi perubahan serta juga sebagai pemangkin yang diperlukan dalam Revolusi Perindustrian 4.0.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa perkara yang amat penting yang perlu diingat adalah keterangkuman untuk semua. Selain itu, dengan perkembangan teknologi yang berterusan dan pesat, tambahnya, bagi kita untuk terus kekal relevan dalam zaman digital bermakna bahawa kita perlu untuk menekankan pembelajaran sepanjang hayat.

Dayang Haslina turut menyatakan dengan penularan pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan merentas sempadan diteruskan, ia mempercepatkan lagi keperluan bagi memberikan kemahiran serantau, membangunkan sebuah ekosistem yang inklusif bagi menyediakan serta meningkatkan kemahiran sektor swasta dan awam ASEAN.

Oleh itu, tegasnya, masa hadapan kita bukan sahaja melabur dalam teknologi tetapi masa hadapan kita adalah melabur dalam warga kita.

Manakala itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dalam ucapan khasnya di meja bulat berkenaan, menyatakan bahawa sebagai penaja utama bagi siri acara dan meja bulat ASEAN BAC, Brunei LNG melihat terdapat nilai yang besar dalam menyokong platform seumpama ini.

Menurutnya lagi, platform berkenaan bukan sahaja membantu mereka untuk membangun sebagai sebuah perniagaan, ia juga menegaskan semula komitmen mereka kepada negara sebagai salah sebuah penyumbang utama dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 ke arah sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan serta negara pintar.

Di samping itu, ia juga menegaskan semula komitmennya kepada ASEAN sebagai sebuah pemimpin industri dalam menyediakan peluang-peluang dan cabaran-cabaran masa hadapan serta menikmati kemakmuran bersama dalam sebuah rantau yang bersatu.

Tegasnya lagi, ia juga menunjukkan komitmen global mereka sebagai pembekal tenaga dalam menyediakan penyelesaian tenaga mampan kepada pelanggannya di luar negara.

Hajah Farida menambah bahawa sebagai loji LNG yang paling lama beroperasi di dunia, inovasi dan pendigitalan, akan sentiasa menjadi bahagian utama dalam operasi mereka.

Beliau menjelaskan bahawa pelaburan dan komitmen Brunei LNG kepada pendigitalan adalah untuk memudahkan prosesnya merentas rantaian nilai dengan bekerjasama rapat bersama pemimpin-pemimpin industri.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pihaknya turut melabur dalam keupayaan dan peralatan yang membolehkan pelaksanaan aktiviti teknikal selari dengan sambungan atas talian jurutera dan pakar daripada lokasi-lokasi di serata dunia yang membolehkan mereka untuk terlibat sama dalam operasi membaik pulih secara maya.

Hajah Farida seterusnya menyatakan bahawa kemahiran digital bukannya satu perkara yang baharu dan ia adalah sentiasa penting tetapi adalah pen ting untuk diingati bahawa peralatan dan teknologi tidak akan memberikan hasil tanpa manusia di mana manusia yang berkeupayaan akan terus berubah, memperoleh kemahiran baharu melalui latihan dan pengiktirafan yang diperlukan oleh industri.

Oleh itu, kemahiran digital tanpa kemahiran analisis, kemahiran kreatif dan kemahiran manusia, ulasnya, tidak akan mempersiapkan mana-mana generasi, baik yang muda atau tua, untuk berinteraksi dengan mesin.

“Kita memerlukan keseimbangan kesemua kemahiran ini, ia merupakan cara yang terbaik untuk mempersiapkan diri bagi persekitaran kita yang sentiasa berubah, menggabungkan strategi perniagaan, orang dan teknologi digital,” tekannya.

Beliau menambah bahawa teknologi terus berubah secara pesat dan oleh itu, keupayaan serta kemahiran digital akan terus menjadi lebih mustahak di mana cara yang terbaik bagi kita untuk mempersiapkan diri bagi perubahan dalam kemahiran itu, adalah untuk menjadi fleksibel serta terbuka kepada penyesuaian dan pertumbuhan dalam ruang berkenaan.

Transformasi digital merupakan satu perjalanan dan bukannya satu destinasi, jelasnya, di mana pendigitalan itu adalah satu sasaran yang bergerak dan sentiasa berubah, yang memerlukan pengemaskinian dan penilaian berterusan supaya kekal berdaya maju sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan.

Teknologi bukan sahaja hanya untuk memperbaiki kehidupan kita tetapi ia juga adalah untuk menjadikan kerja lebih mudah dan efisien dalam pelbagai sektor.

“Terdapat pelbagai peluang yang muncul sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi digital Brunei LNG, terutamanya dengan COVID-19 dan kaedah baharu untuk bekerja. Ia juga menggalakkan kami sebagai sebuah organisasi untuk berfikir di luar kotak dan menggalakkan kami untuk menggunakan AI bagi memperbaiki lagi ramalan penyelenggaraan dan kebolehpercayaan kami. Ia membuat kami berfikir bagaimana untuk membolehkan operasi jarak jauh sambil meningkatkan lagi produktiviti,” tambahnya.

Hajah Farida dalam ucapannya itu lagi berkata bahawa pendigitalan adalah semuanya mengenai data dan orang di mana bagi Brunei LNG, peluang utama dalam perjalanan itu adalah untuk melabur secara aktif dalam membangunkan keupayaan digital bagi organisasinya.

Beliau menyatakan bahawa meningkatkan kemahiran kakitangan tempatan mereka untuk menjadi celik digital dapat menjana tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan bersedia untuk masa hadapan pekerjaan.

Secara kesimpulannya, tambahnya kunci kejayaan dalam perjalanan transformasi digital adalah elemen manusia di mana melabur ke dalam sisi pendigitalan yang akan memastikan nilai jangka panjang dan perubahan mampan.