Teknologi ‘blockchain’ pastikan bekalan makanan halal

CYBERJAYA, 5 MAC – Pengguna boleh menjejak maklumat rantaian bekalan makanan halal melalui teknologi Halal Blockchain Network (HBN) yang dibangunkan oleh kumpulan perniagaan Malakat Ekosistem.

Pengasas HBN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim berkata melalui teknologi HBN, pengguna boleh menjejaki data rantaian bekalan makanan dengan hanya mengimbas kod QR yang dilekatkan pada bungkusan makanan.

Buat masa ini katanya, kemudahan kod QR HBN boleh diimbas pengguna pada pek-pek makanan asas di premis peruncitan Malakat Grocer untuk menjejak maklumat mengenai sumber makanan tersebut termasuk pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“HBN ini bukan untuk menggantikan standard halal Jakim, tetapi memberi nilai tambah dalam memastikan makanan yang dijual diyakini halal,” katanya kepada media selepas pelancaran HBN oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Che Abdullah Mat Nawi di sini, hari ini.

Dengan teknologi ‘blockchain’, beliau berkata data mengenai bekalan makanan daripada peringkat pengeluar sehingga penjual, disimpan dalam bentuk blok yang berangkai dan diedar ke jutaan komputer di seluruh dunia melalui rangkaian Internet untuk tujuan penyimpanan dan pengesahan.

“Penggunaan teknologi terkini ‘blockchain’ akan memastikan rantaian bekalan makanan halal terpelihara dan tidak bercampur aduk dengan makanan yang tidak halal dan pengguna tidak tertipu dengan logo halal Jakim yang palsu,” katanya. – Bernama

Datuk Che Abdullah Mat Nawi mengimbas kod QR Halal Blockchain Network (HBN) yang memaparkan jejak produk makanan semasa majlis pelancaran HBN itu di Malakat Mall kelmarin. – Bernama