Teknologi Digital pemangkin pembangunan Negara Pintar

Oleh Sim Y. H.

Pada 23 Februari 2020, Negara Brunei Darussalam telah mencapai usia kemerdekaannya yang ke-36 tahun dan dalam tempoh lebih tiga dekad itu, Brunei bukan sahaja berkembang maju di dalam persada politik dan ekonomi serantau malahan turut menjadi sebuah negara yang terus membangun di pentas global.

Dengan membawakan tema, ‘Menjayakan Wawasan Negara,’ amat relevan kepada usaha memacu pembangunan negara ke arah mencapai wawasan negara 2035. Negara bukan sahaja telah melalui perubahan landskap infrastruktur mengikut peredaran masa tetapi juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau.

Namun begitu, Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya sendiri dalam mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi dari cuma bergantung kepada industri minyak dan gas.

Pencapaian dalam tempoh lebih tiga dekad

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, Brunei terus mengecapi pembangunan yang pesat dan menikmati kemakmuran serta taraf kehidupan yang tertinggi di rantau Asia di mana kemakmuran itu adalah atas keprihatinan serta kebijaksanaan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terus meinginkan Brunei terus berusaha menyaingi negara-negara membangun dan maju di dunia.

Kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara harus dipertahankan dan usaha harus digandakan supaya ekonomi negara yang kini tidak hanya bergantung pada industri minyak dan gas yang harus dipelbagaikan dengan berpaksikan kepada matlamat wawasan 2035.

Syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi giat merangka strategi baharu dalam menyokong transformasi negara dan wawasan 2035. – Gambar fail oleh Muiz Matdani
Wawasan 2035 memberikan penekanan yang tinggi kepada transformasi negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. – Gambar fail oleh Muiz Matdani

Wawasan 2035 memberikan penekanan yang tinggi kepada transformasi negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Dalam hubungan itu, adalah amat penting bagi sistem pendidikan negara memberikan penekanan kepada membangunkan serta membentuk sumber tenaga manusia supaya mampu bersaing dan berdaya tahan dengan perubahan kehidupan abad ke-21.

Dengan memberikan penekanan tersebut, ia mampu untuk menyokong transformasi negara bukan sahaja mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kompetitif dan mapan tetapi mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan wawasan 2035.

Perkembangan menuju era revolusi industri 4.0

Melangkah ke hadapan, Baginda Sultan bertitah sempena sambutan Tahun Baru Masehi 2020, “Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan era-digital yang sering dikaitkan dengan Fourth Industrial Revolution, di mana teknologi seperti Edge, Cloud, Artificial Intelligence dan Extended Reality akan turut memacu transformasi industri digital.”

Oleh itu, dalam era perkembangan teknologi digital yang pesat, ia memerlukan negara untuk memberikan keutamaan dalam memanfaatkan teknologi canggih dan ekonomi digital sebagai pemangkin pembangunan negara menuju ke wawasan 2035.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) merupakan salah sebuah kementerian yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan teknologi dan ekonomi digital yang mampan dan mantap khususnya dalam bidang pengangkutan dan infokomunikasi menyaksikan MTIC berhasrat untuk me ngeluarkan Pelan Strategik 2020-2025 (MTIC2025) dengan visi baharu iaitu Connected Smart Nation.

Sehubungan itu, menuju ke arah transformasi digital beberapa dasar baharu serta arah tuju yang lebih fokus telah pun disatukan di bawah MTIC terutama dalam dasar yang berkaitan dengan sektor infokomunikasi.

MTIC melalui Urusetia Majlis Ekonomi Digital sedang giat memberigakan rangka kerja Pelan Induk Ekonomi Digital ke kementerian-kementerian, institusi pengajian tinggi dan pelbagai agensi termasuk sektor swasta.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof menjelaskan usaha ini adalah bagi memastikan adanya penyelarasan dalam inisiatif transformasi digital serta untuk mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkenaan ke atas draf Pelan Induk Ekonomi Digital tersebut. Pelan Induk Ekonomi Digital berkenaan disasarkan untuk dilancarkan dalam jangka masa suku pertama 2020.

Beliau turut menyatakan bahawa perkembangan dasar-dasar baharu dari segi penelitian semula hala tuju dasar dan urus tadbir sektor infokomunikasi telah pun selesai dilaksanakan pada penghujung Disember 2019.

Beberapa perkembangan itu, jelasnya lanjut ialah penyerapan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan dan Overall Government CIO yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta Bahagian Digital Nation di bawah Kementerian Tenaga ke MTIC di mana dengan penyerapan itu, penyelarasan yang lebih menyeluruh ke atas projek-projek digital kerajaan serta fungsi-fungsi pembangunan industri ICT kini ditempatkan di bawah MTIC.

Dengan penyelarasan itu, ia dihasratkan untuk memudahkan lagi penggubalan dasar dan pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan lebih fokus oleh agensi-agensi pelaksanaan seperti AITI, EGNC, OGCIO dan Pejabat Smart Nation/ Digital Government di bawah satu bumbung dasar autoriti kementerian iaitu MTIC. Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib berkata bahawa perkembangan lain ialah penubuhan Cyber Security Brunei (CSB) sebagai agensi kebangsaan yang khusus dalam keselamatan siber.

Beliau menerangkan, penggubalan akta berkaitan keselamatan siber juga sedang berjalan dan walaupun penu buhan CSB masih dalam peringkat awal, perkhidmatan-perkhidmatan utama dalam keselamatan siber iaitu Cyberwatch, National Digital Forensic Laboratory dan BruCERT, sudah dijalankan oleh Syarikat IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri selaku pusat keselamatan siber interim pada masa ini. Beliau seterusnya menyatakan bahawa perkembangan dasar yang terbaharu adalah bagi Bahagian Sains, Teknologi dan Inovasi yang sebelum ini, di bawah Kementerian Tenaga kini juga ditempatkan di bawah MTIC serta turut dipindahkan ke MTIC ialah Majlis Penyelidikan Brunei (BRC) dengan mengambil kira kaitan rapat kerja-kerja penyelidikan ke arah kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi.

Mengulas mengenai dengan perkembangan industri infokomunikasi, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa penyusunan semula struktur industri sedang giat dijalankan di mana penyatuan infrastruktur telekomunikasi di bawah Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), pengguna sudah mula dapat menikmati peningkatan dari segi kualiti perkhidmatan jalur lebar mudah alih (mobile broadband).

Beliau menerangkan bahawa syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi kini sedang giat me rangka strategi baharu dalam persediaan melancarkan produk dan perkhidmatan baharu masing-masing bagi memberi pilihan perkhidmatan telekomunikasi kepada orang ramai dengan harga yang lebih kompetitif.

Dalam mendukung penggunaan teknologi terkini sebagai pemangkin kepada perkembangan sosio-ekonomi, projek-projek rintis 5G juga sedang dalam perancangan di antara MTIC, AITI dan syarikat-syarikat berkenaan dengan projek-projek rintis itu akan meneroka penggunaan teknologi 5G dalam pelbagai aspek termasuk pengangkutan, pelancongan dan pendidikan.

Sementara itu dalam pembangunan sektor pengangkutan awam, penggunaan Intelligent Transport System (ITS) adalah sangat bermanfaat terutama dengan penggunaan teknologi aplikasi dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai yang lebih efisien dan boleh dipercayai. Dalam hal itu, bagi 2020, MTIC berhasrat untuk melaksanakan beberapa projek rintis yang berunsurkan ITS ataupun Smart Public Transport.

Jelas terbukti bahawa Negara Brunei Darussalam terus bergerak maju ke arah mencapai wawasan negara 2035, seluruh rakyat dan penduduk negara harus peka dan bersedia ke arah penghijrahan minda memanfaatkan perkembangan dalam bidang info-komunikasi dan teknologi digital sebagai pemangkin ke arah pembangunan negara.

Perkembangan teknologi digital bukan sahaja membawa bersama pelbagai cabaran tetapi juga peluang untuk diterokai serta membuka laluan kepada kemajuan, perkembangan, pembaharuan dan pasaran yang lebih luas.

Oleh itu bagi, ‘Menjayakan Wawasan Negara,’ ia memerlukan segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama mendukung, menyokong dan memanfaatkan perkembangan teknologi bagi memastikan kemakmuran, keamanan dan pembangunan negara yang mapan.