Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi dron mampu jimat masa, tambah kecekapan pesawah

    TELUK INTAN, 4 NOV – Penggunaan teknologi dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dalam sektor pertanian semakin mendapat tempat dalam kalangan petani moden, dilihat mampu mengurus ladang dengan cekap dan menjimatkan masa.

    Teknologi dron bagi sektor pertanian digunakan dalam proses penyemburan baja serta racun pada tanaman termasuk padi mampu mempercepat proses dan mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja manusia. 

    Pesawah Mohd Yazid Yusrah, 41, misalnya memanfaatkan penggunaan dron pada hampir kesemua peringkat penanaman padi di sawah miliknya, daripada menyembur racun sehinggalah proses membaja.

    Beliau yang mempunyai bendang seluas 40.4 hektar di Kampung Sungai Bukit di sini beralih kepada penggunaan dron sejak dua tahun lepas. 

    Pesawah Mohd Yazid Yusrah bersama dron jenis T20 Pro miliknya yang digunakan untuk meracun dan membaja sawah ketika ditemui Bernama di Tukang Sidin, Sungai Manik baru-baru ini.

    “Saya mula mencuba penggunaan dron sekitar 2022 atau sudah empat musim, dan pada peringkat permulaan memang agak sukar nak kendalikan, malah saya gunakan untuk menyembur racun di petak sawah sahaja.

    “Tiada pembelajaran khusus, hanya belajar mengendalikan dron melalui rakan-rakan dan memang agak kekok mulanya, namun saya bulatkan usaha menyahut saranan kerajaan menggunakan kaedah teknologi Internet pelbagai benda (IoT),” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Mohd Yazid berkata penggunaan teknologi itu amat membantu dari segi penjimatan kos dan masa jika dibandingkan dengan cara konvensional. 

    “Pendekatan manual akan ambil masa hingga satu jam atau lebih untuk meracun sahaja petak sawah berkeluasan 0.4 hektar, namun jika guna dron dapat disingkatkan antara 10 minit atau 15 minit. 

    “Jika cara manual, 0.4 hektar petak sawah memerlukan empat orang untuk meracun dengan kadar upah semasa RM30 seorang dengan enam hingga lapan kali semburan (racun) termasuk membaja setiap bulan,” katanya. 

    Mohd Yazid berkata walaupun teknologi dron banyak membantu petani, namun pihaknya tetap berusaha menggunakan tenaga kerja manusia bagi memastikan kelangsungan pekerjanya. 

    Katanya, atas pelbagai faktor itu juga pihaknya merayu kerajaan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,450 untuk satu tan metrik kepada RM1,800 bagi mengimbangi kenaikan kos mengusahakan sawah ketika ini.

    “Jika tidak boleh naikkan, maka saya mohon diselaraskan harga lantai di seluruh negara agar beri keadilan kepada kami petani, janganlah di Perak Tengah lain, harga di Sungai Manik lain. 

    “Penyelarasan itu mampu membantu petani ‘bernafas’ selepas terpaksa berdepan kos kenaikan upah jentera menuai dan membajak dan lain-lain kos,” katanya.

    Mohd Yazid berkata ketetapan penyelarasan harga lantai padi itu juga mampu mengelak berlakunya “penindasan” kepada petani oleh pengilang. 

    “Awalnya pengilang membeli dengan harga RM1,800, tetapi apabila musim menuai waktu puncak, harganya turun mendadak kepada cuma RM1,450, namun apa yang kita siasat pengilang sama membayar RM1,800 kepada petani di kawasan lain. 

    “Inilah yang berlaku jika tiada penyelarasan harga lantai dan pengilang boleh menetapkan harga sesuka hati menyebabkan petani akan berterusan mengalami kerugian kerana kos menghasilkan padi ketika ini sangat tinggi,” katanya dan menambah beliau bersama lebih 400 petani muda di Sungai Manik memohon jasa baik kerajaan agar mempertimbangkan permintaan itu.  – Bernama

    Atas & Bawah: Pesawah Mohd Yazid Yusrah mengawal dron berkenaan.

    Dron jenis T20 Pro untuk kegunaan meracun dan membaja sawah milik pesawah Mohd Yazid Yusrah. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda