Teknologi kunci pemulihan PASCA COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Penularan pandemik COVID-19 telah memberikan Negara Brunei Darussalam peluang untuk memajukan agenda digital dan inovasi serta penyebaran perkhidmatan digital telah pun dipercepat dalam usaha meningkatkan respons dan pemulihan daripada kesan COVID-19.

Seiring dengan Revolusi Perindustrian keempat (IR4), selain perkhidmatan digital, bidang bioteknologi juga dilihat antara kunci untuk membantu usaha-usaha pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Perkongsian itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof ketika menghadiri the 11th ASEAN Informal Ministerial Meeting on Science, Technology and Innovation (IAMMSTI-11)
melalui persidangan video di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Mesyuarat mengetengahkan pertukaran fikiran mengenai kerjasama menangani wabak COVID-19 yang turut menyaksikan Yang Berhormat Dato berkongsi mengenai penggunaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk transformasi industri dan asas untuk masa depan.

Beliau turut berkata bahawa STI adalah kunci utama dalam memastikan kejayaan jangka panjang strategi vaksinasi dan pemulihan COVID-19 dan beliau menyokong projek-projek cadangan daripada negara anggota ASEAN dalam bidang yang dapat menyumbangkan kepada penguatan daya tahan dan kesiapsiagaan wilayah terhadap COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika menghadiri Mesyuarat IAMMSTI-11 melalui persidangan video di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika menghadiri Mesyuarat IAMMSTI-11 melalui persidangan video di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Pada 2021, Mesyuarat IAMMSTI-11 telah dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Thailand, Tuan Yang Terutama Dr Anek Laothamatas, di mana antara lain hasil yang telah dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan ialah mengenai laporan mesyuarat 79th Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-79) yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli IAMMSTI.

Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; pengerusi Board of Advisors kepada COSTI (BAC), jawatankuasa-jawatankuasa kecil (sub-committees) di bawah COSTI dan juga disertai oleh pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Sementara itu, turut bersidang sebelum Mesyuarat IAMMSTI-11 ialah Mesyuarat 79th ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-19) pada 15 sehingga 16 Jun yang telah dihadiri Haji Mohammad Nazri selaku pengerusi Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN COSTI.

Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Haji Hairul Mohd Daud, pengerusi Board of Advisors kepada COSTI (BAC), jawatankuasa-jawatankuasa kecil (sub-committees) di bawah COSTI dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Mesyuarat COSTI-79 pada tahun ini telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Thailand, Professor Sirirurg Songsivilai di mana antara perkara-perkara utama yang telah dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan ialah menyokong projek-projek yang membina keupayaan ASEAN untuk menentang COVID-19, pelaksanaan sebuah Summer School for High Performance Computing, penubuhan sebuah hab pengurusan teknologi dan pelaksanaan projek-projek menangani matlamat pembangunan mampan.