Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Teknologi mudahkan OKU kerja dari rumah

    KUALA LUMPUR – Setiap kali perlu keluar ke tempat kerja, kerisauan akan menyelubungi V. Murugeswaran yang lumpuh kedua-dua belah kaki.

    Antara yang meresahkan Orang Kelainan Upaya (OKU) berkerusi roda itu ialah ketersediaan tempat letak kenderaan dan juga kemudahan mesra OKU seperti tandas memandangkan kebanyakan premis masih lagi belum menyediakan infrastruktur sedemikian.

    Bagaimanapun, apabila COVID menular ke Malaysia dua tahun lepas, isu itu tidak lagi relevan buatnya dan ahli-ahli Persatuan Damai OKU Malaysia kerana mereka mula bekerja dari rumah (BDR).

    “(Bekerja dari rumah) sangat bagus. Memudahkan. Kalau tidak, kami perlu ke tempat kerja. Kadang-kadang saya terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Justeru bagi saya, bekerja secara dalam talian ini lebih baik dan menyenangkan,” katanya kepada Bernama.

    Sebelum ini, tugas Murugeswaran, 52, selaku jurulatih berkaitan OKU memerlukannya turun padang bagi mengadakan latihan kese-daran keperluan OKU kepada syarikat dan organisasi.  

    Selepas dua tahun bekerja secara jarak jauh, bapa kepada seorang anak itu tidak merancang untuk kembali bekerja mengikut cara lama. Kini, beliau dan stafnya menjalankan latihan secara dalam talian.

    Justeru, apabila ada gesaan agar sistem bekerja dari rumah dilaksanakan semula berikutan penularan varian Omicron yang dibimbangi akan mencetuskan satu lagi sekatan pergerakan, kebanyakan OKU menyambut baik saranan itu kerana mereka tahu faedah BDR.

    Teknologi digital inklusif  

    BDR membuka membuka pelbagai ‘pintu’ kepada OKU yang lazimnya sentiasa berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan atas faktor kekangan fizikal. Namun disebabkan BDR, operator dan syarikat telekomunikasi meningkatkan teknologi masing-masing bagi menambah baik perkhidmatan dan produk mereka.

    OKU pendengaran Dewi Sri Taib berkata teknologi digital kini lebih inklusif dengan turut mengambil kira keperluan golongan sepertinya.

    “Banyak aktiviti boleh dijalankan dalam talian dan boleh sertai tanpa diskriminasi. Malah, untuk OKU penglihatan juga ada perisian dan aplikasi yang boleh mengubah teks kepada Braille,” katanya.

    Menurut pembantu tadbir di sebuah universiti tempatan itu, tugasnya tetap berjalan lancar walaupun bekerja dari rumah.

    Mengulas lanjut, Dewi berkata sebelum pandemik, beliau perlu menghadiri mesyuarat secara bersemuka yang melibatkan kira-kira 15 orang.

    Katanya pada masa itu beliau sering berdepan kesukaran untuk memahami pertuturan serta isu yang dibangkitkan, terutama apabila ada yang bercakap serentak.

    Namun apabila BDR dan mesyuarat dijalankan secara dalam talian, beliau dapati lebih mudah memberi tumpuan kerana aplikasi digunakan hanya membenarkan orang bercakap secara bergilir. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...