Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi nuklear bantu pembangunan tenaga

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Mesyuarat tahunan ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) yang dipengerusikan oleh Jabatan Radiasi, Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) sebagai wakil Negara Brunei Darussalam, telah bermula secara maya pada hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Mesyuarat yang akan berjalan sehingga 9 Julai itu merupakan mesyuarat peringkat kumpulan kerja di bawah tunggak ASEAN Political-Security Community.

    Menurut kenyataan yang diberikan, ASEANTOM telah dibukakan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-20 pada 2013 dan bertujuan untuk meningkatkan aktiviti kawal seliaan, mengukuhkan keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan nuklear dalam komuniti di rantau ASEAN.

    Mesyuarat itu berperanan sebagai landasan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara pakar-pakar nuklear dan radiasi bersama badan kawal selia tenaga atom negara-negara anggota ASEAN, dan seterusnya membincangkan pendekatan bagi meningkatkan keupayaan di dalam bidang tersebut.

    Kenyataan menyatakan, selaku pengerusi kepada mesyuarat kali kelapan, Negara Brunei Darussalam akan menerajui perbincangan bagi perkara-perkara utama yang telah dibangkitkan pada mesyuarat ASEANTOM ke-7 di Vietnam pada tahun lepas.

    Awang Mohammad Nizam semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.
    Dayang Zubaidah semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.

    Negara Brunei Darussalam juga akan berpeluang untuk mendorong perlaksanaan aktiviti-aktiviti ASEANTOM ke arah hala tuju yang dapat menjana manfaat kepada Brunei Darussalam, seperti peningkatan keupayaan keselamatan dan sekuriti nuklear.

    Ia akan diraih melalui kerjasama pihak ASEAN dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mana penyertaan Jabatan Radiasi di SHENA dan juga agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dalam latihan kompetensi radiasi akan membantu Brunei Darussalam merangka pelan tindak balas kecemasan radiologi selaras dengan amalan antarabangsa.

    Mesyuarat ASEANTOM ke-8 itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Pematuhan, Kementerian Tenaga, Awang Mohammad Nizam bin Haji Ismi yang antara lain menekankan mengenai penggunaan sains dan teknologi nuklear yang pada masa kini amat relevan dalam mendokong pembangunan negara-negara anggota ASEAN terutamanya dalam sektor tenaga, pemakanan mahupun perubatan.

    Walaupun penggunaan teknologi tersebut secara menyeluruh mampu untuk meningkatkan perkembangan sosioekonomi sesebuah negara, terdapat juga pelbagai cabaran dalam penerapan dan perlaksanaannya.

    Oleh yang demikian, ujar beliau lagi, rangkaian badan penguatkuasaan dari negara-negara anggota ASEAN adalah perlu untuk mengukuhkan lagi aktiviti-aktiviti kawal seliaan tenaga atom bagi membantu menjamin keselamatan dan kesejahteraan para pekerja radiasi, orang awam dan juga alam sekitar.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Radiasi, SHENA, Dayang Zubaidah binti Haji Mahmud yang berkata, pada mesyuarat ASEANTOM ke-7 yang dianjurkan oleh VARANS, mereka telah menyatakan persetujuan untuk menerima pakai rancangan kerja lima tahun 2020-2024 yang mengemas kini pelaksanaan projek-projek serantau yang ada dengan pelbagai rakan luar, termasuk IAEA.

    “Terutamanya di bawah Peraturan Praktikal antara ASEAN dan IAEA di bahagian sains dan teknologi nuklear dan aplikasi, keselamatan, sekuriti dan perlindungan nuklear, yang ditandatangani pada 16 September 2020, dan juga dengan Republik Korea, termasuk beberapa cabaran dan halangan yang berkaitan dengan situasi COVID-19 yang berlaku,” tambahnya.

    Selaku pengerusi ASEANTOM pada tahun ini dan bagi pihak rangkaian badan pengawal selia mengenai tenaga atom, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan dialog mereka, terutama yang bersama mereka hingga esok, atas usaha berterusan mereka dalam menyokong kerjasama dengan ASEANTOM.

    Mesyuarat itu turut disertai oleh 80 ahli delegasi dari ne-gara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, rakan-rakan dialog daripada Republik Korea, Suruhanjaya Eropah, dan organisasi antarabangsa seperti IAEA.

    Projek-projek serantau yang berkaitan dengan pengukuhan keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan tenaga nuklear, dan juga aktiviti-aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan radiologi dan nuklear di rantau ASEAN yang baru dan sedang dilaksanakan adalah antara topik yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda