Teknologi pencegahan terbaik di lapangan terbang

ISTANBUL – Sejak dunia dibelenggu penularan wabak COVID-19, hampir seluruh kerajaan melaksanakan perintah berkurung dan menutup sempadan untuk menghalang perjalanan domestik serta kemasukan ke dalam negara agar jumlah jangkitan tidak bertambah mendadak.

Namun, setelah beberapa negara mula melihat jangkitan virus yang terkawal, langkah-langkah penutupan mula dilonggarkan dan kerajaan menganjurkan orang ramai untuk hidup dalam normal baharu.

Ini termasuklah tetap menjaga penjarakan sosial dan mementingkan kebersihan diri yang tinggi bagi mencegah jangkitan.

Dalam masa yang sama, dengan kemajuan teknologi pada masa kini, pelbagai usaha dan inovasi yang muncul bagi membendung penularan virus berkenaan.

Bermula dari tempat pensanitasi tangan automatik hinggalah terowong sanitasi automatik tanpa memerlukan kontak fizikal diciptakan demi mementingkan keselamatan orang ramai.

Gambar bertarikh 9 Jun 2020, menunjukkan seorang pengawal keselamatan melihat skrin mengimbas suhu badan para penumpang. – Xinhua
Mesin vending menjual produk perlindungan kesihatan di lapangan terbang Istanbul, Turkey. – Xinhua
Seorang petugas lapangan terbang memakai helmet pemeriksaan pintar berteknologi tinggi baharu, yang dilengkapi dengan sensor termo-scan. – Xinhua
Antara papan informasi tentang koronavirus ditempatkan di kawasan tertentu di terminal, terus menerus memberitahu orang tentang peraturan yang harus mereka patuhi. – Agensi

Meskipun dunia masih di bawah ancaman virus, terdapat beberapa negara telah mula membuka sempadan mereka bagi melakukan perjalanan domestik. Walau bagaimanapun, pihak lapangan terbang tetap menerapkan langkah-langkah pencegahan di seluruh lapangan terbang demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dan para petugasnya.

Teknologi dan inovasi akan mendahului tindakan pencegahan lapangan terbang terbesar Istanbul di Turki terhadap COVID-19 pada era pasca wabak, menurut pihak pengurusan lapangan terbang itu.

Pihak pengurusan pada 9 Jun lalu melakukan persiapan terakhir dan langkah-langkah yang diambil terhadap koronavirus sementara syarikat penerbangan Turki bersiap untuk memulakan operasi antarabangsa mereka pada keesokan harinya.

“Kami sudah sedia … Kami telah mengambil setiap langkah untuk menentang pandemik COVID-19 di semua kawasan dari akses lapangan terbang ke pintu masuk untuk pengalaman perjalanan yang sihat dan selamat,” kata seorang pegawai kepada media.

Kegiatan penseterilan akan bermula sebelum masuk ke terminal, dengan menggunakan tikar pembersih khusus untuk membasmi kuman di kasut.

Terowong berasaskan ultra ungu yang baharu juga akan membasmi kuman bakul keselamatan dan bagasi untuk memastikan bahawa virus tidak berada di permukaannya.

Melalui sensor yang dipasang di beberapa lokasi, orang yang melanggar peraturan penjarakan sosial 1.5 meter akan diberi amaran secara automatik. Selain itu, penumpang dengan mudah memperolehi penutup mulut dan hidung serta gel pensanitasi tangan daripada pembersih automatik yang terletak di hampir setiap sudut terminal.

Kakitangan lapangan terbang juga mula menggunakan helmet pemeriksaan pintar berteknologi tinggi baharu, yang dilengkapi dengan sensor imbasan termal.

Helmet secara automatik mengambil suhu penumpang dan kakitangan terminal, memadankan setiap ukuran dengan kod QR melalui peranti pengecam wajah dan telefon bimbit.

“Justeru sesiapa di antara mereka yang didapati demam akan dialihkan ke pusat-pusat kesihatan di dalam terminal,” kata pegawai itu.

Dalam ruang lingkup langkah-langkah tersebut, papan informasi tentang koronavirus ditempatkan di kawasan tertentu di terminal, terus menerus memberitahu orang tentang peraturan yang harus mereka patuhi.

Syarikat penerbangan Turki, Turkish Airlines sebelumnya mengumumkan bahawa ia akan mula terbang ke beberapa buah negara, termasuk Yunani, Bulgaria, Bahrain, dan Qatar pada 10 Jun dari Istanbul.

Turki secara beransur-ansur meningkatkan jumlah penerbangan antarabangsa ke 40 negara dalam beberapa hari akan datang pada bulan Jun ini. – Xinhua