Teknologi percepatkan pertumbuhan ekonomi digital

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Pelajaran yang bernilai daripada pandemik COVID-19 ialah kesihatan dan ekonomi berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.

Sebelum COVID-19, perbelanjaan penjagaan kesihatan sering dianggap sebagai perbelanjaan secara langsung dalam respons kepada keperluan penjagaan kesihatan segera dan bukannya dianggap sebagai satu pelaburan.

Hari ini, pendekatan yang lebih proaktif dan berpandangan ke hadapan kepada perbelanjaan penjagaan kesihatan diperlukan bagi memastikan perbelanjaan efisien yang akan pada jangka panjang membawa kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk penduduk dan akan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Perkara itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kata alu-aluannya pada Persidangan Khas Menteri bagi Kesihatan Awam Digital ASEAN yang berlangsung secara maya, hari ini.

Persidangan itu turut disertai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham (kiri), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew (tengah) dan TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi semasa menyertai Persidangan Khas Menteri bagi Kesihatan Awam Digital ASEAN yang berlangsung secara maya, hari ini. – Gambar serahan MOFE

Beliau menekankan lagi bahawa mengutamakan kesihatan merupakan amat kritikal dalam meningkatkan kesedaran bahawa pencegahan adalah jauh lebih bernilai daripada rawatan.

Dalam kata alu-aluannya itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata bahawa teknologi merupakan satu penukar permainan dari segi peluang dan impak kepada kehidupan serta mata pencarian kita.

Dalam menangani krisis berkenaan, ia telah meningkatkan proses serta membolehkan kita untuk melaksanakan pengesanan, penjejakan, profil risiko dan pengemaskinian masa sebenar bagi membantu mengemudi aktiviti hari ke hari kita.

Teknologi bukan sahaja merubah bagaimana kita menghadapi cabaran-cabaran COVID-19 sekarang tetapi ber-gerak ke hadapan, ia juga akan menjejas banyak pilihan penting yang akan kita buat dalam menentukan hala tuju masa hadapan bagi peruntukan penjagaan kesihatan.

Teknologi juga telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital yang merupakan salah satu pemacu aktiviti ekonomi utama di tengah-tengah pandemik ini.

Yang Berhormat Dato berkata melalui teknologi, pekerjaan baharu telah dijana dan produk serta perkhidmatan baharu juga diperkenalkan.

“Perniagaan-perniagaan sektor swasta perlu untuk menyesuaikan diri kepada peluang-peluang supaya dapat maju. Agensi-agensi kerajaan juga bertindak balas terhadap peluang-peluang baharu itu dalam penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan kepada masyarakat umum dalam kaedah yang lebih efektif serta tepat pada masanya.”

Kesemua itu, tambahnya, menunjuk kepada sebuah masyarakat yang mempunyai kemampuan digital dan untuk mencapai itu, kita harus memastikan bahawa tidak ada seorang pun tertinggal di belakang melalui kolaborasi yang dipertingkatkan antara sektor awam dan swasta.

Berbalik kepada penjagaan kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata bahawa kita juga perlu merangkul teknologi dalam persiapan dan terus melabur dalam aset-aset utama di mana dengan tahap kesiapsiagaan serta pelaburan berterusan itu, akan membantu untuk mengimbangkan kesan gangguan ekonomi daripada COVID-19 dan juga bagi pandemik-pandemik yang akan datang.

Dengan kesan pandemik COVID-19 yang besar terhadap negara-negara khususnya terhadap penjagaan kesihatan dan ekonomi, usaha untuk menghentikan pandemik ini serta mempersiapkan diri bagi pandemik yang akan datang memerlukan pendekatan yang lebih bersepadu yang mampu memberikan pencerahan serta pemahaman yang lebih baik mengenai cabaran-cabarannya.

Oleh itu, usaha tindak balas pandemik di peringkat global, serantau dan kebangsaan perlu dibincangkan serta dirancang dengan lebih awal, tambahnya. Persidangan yang membawa tema, Collaborate for a Happier and Healthier World Post Pandemic, oleh EVYD Knowledge Hub, EVYD Technology diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga 7 Oktober.

Persidangan itu dianjurkan dengan kolaborasi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, Kementerian Kesihatan Brunei, Brunei Investment Agency serta Temasek Foundation di mana ia mengetengahkan pentingnya bagi pemimpin-pemimpin ASEAN untuk bekerjasama serta merangka penyelesaian yang mampan dan berdaya maju untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan mampu untuk menangani cabaran-cabaran yang akan datang.

COVID-19 dan penularan varian Delta telah mendedahkan kelemahan dalam sistem penjagaan kesihatan global dan menguatkan lagi keperluan kolaborasi serantau dalam mengemudi pandemik pada skala besar itu. Menyedari akan keperluan bagi mengukuhkan infrastruktur penjagaan kesihatan, EVYD Knowlegde Hub dengan rakan-rakan kongsinya menganjurkan persidangan itu sebagai platform bagi menjana kesedaran mengenai pentingnya kolaborasi, penyelidikan dan pendigitalan dalam memperkasakan penggubalan dasar saintifik untuk memperbaiki penjagaan kesihatan.

Persidangan dua hari itu, mengetengahkan lebih daripada 50 orang penceramah dengan persidangan pada hari pertama menumpukan kepada perkara yang dipelajari daripada COVID-19, peranan penyelidikan dan pendigitalan dalam membentuk dasar-dasar kesihatan awam dan pemulihan serta persiapan masa hadapan.