KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Longe Medikal Sdn Bhd giat membangunkan teknologi perubatan di antaranya pre-planning surgery kini diiktiraf setanding dengan teknologi dari negara-negara maju, sekali gus memantapkan lagi sistem perubatan di Malaysia.
Syarikat pemula tempatan itu yang beroperasi sejak 2016, membangunkan aplikasi pre-planning surgery yang dilakukan kepada pesakit berdasarkan image guided therapy atau lebih dikenali sebagai minimally invasive surgery.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Izzat Ahmad Sabri, teknologi pre-planning surgery kini digunakan di Hospital Pengajar niversiti Putra Malaysia, Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Teknologi berkaitan pre-planning surgery ini berupaya membantu pakar perubatan dalam menyesuaikan stimulator perubatan terutamanya dalam bidang neurovaskular (bahagian otak) dan kardiovaskular (bahagian jantung) serta bidang-bidang perubatan yang lain seperti ortopedik (bahagian tulang) dan kanser,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata syarikat itu juga menyediakan solusi berbentuk perisian yang berkonsepkan PACS (arkib gambar dan sistem komunikasi) untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM). – Bernama