Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Teknologi SCADA harap kurang gangguan bekalan elektrik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Walaupun Negara Brunei Darussalam telah dilanda gelombang kedua wabak COVID-19, Kementerian Tenaga masih dapat mencatatkan beberapa pencapaian yang signifikan bagi 2021.

    Pada 2021, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) telah meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya di mana jabatan itu memainkan peranan penting dalam menjana kemajuan Negara Brunei Darussalam serta menyediakan bekalan tenaga elektrik yang berterusan ke rumah-rumah dari kawasan bandar sehingga ke mukim-mukim dan kampung-kampung di pedalaman demi menjaga kesejahteraan serta sosioekonomi rakyat dan penduduk di negara ini.

    JPE telah mencapai kadar elektrifikasi atau electrification rate pada tahap melebihi 99 peratus.

    Pencapaian Kementerian Tenaga pada 2021 dikongsi oleh Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein ketika pembentangan peruntukkan Kementerian Tenaga dan jabatan-jabatan di bawahnya pada hari keenam permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Satu tonggak penting yang turut dicapai baru-baru ini, ulasnya ialah penyambungan Grid Kebangsaan ke Daerah Temburong melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien di mana penyambungan itu meningkatkan lagi perkhidmatan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga elektrik bagi rakyat dan penduduk di daerah berkenaan.

    Selain daripada itu, Daerah Temburong juga menjadi tumpuan Kementerian Tenaga bagi pemasangan lampu jalan yang berkuasa solar dan panel solar di bangunan-bangunan kerajaan sebagai showcase penggunaan sumber tenaga alternatif.

    Dalam melangkah ke era yang lebih moden, JPE akan terus melaksanakan projek pendigitalan perkhidmatan dengan penggunaan teknologi SCADA yang diharap akan dapat mengurangkan gangguan bekalan tenaga elektrik kepada orang ramai serta perlaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi dan seterusnya mengurangkan kos penghasilan tenaga elektrik.

    Yang Berhormat Dato dalam pembentangan itu, menyatakan lanjut bahawa ketersediaan hidrokarbon, khususnya gas asli, adalah penting bagi memastikan rakyat dan penduduk akan terus menikmati bekalan tenaga elektrik yang terjamin, di samping memastikan kedayatahanan industri hiliran negara.

    Ke arah itu, Kementerian Tenaga dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam telah dan akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat pengendali minyak dan gas utama untuk memastikan segala aktiviti huluan khususnya penerokaan, penggerudian dan pengeluaran, adalah kekal diteruskan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny semasa membentangkan peruntukan Kementerian Tenaga pada permesyuaratan MMN hari ini. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...