Tuesday, December 10, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi tangan bionik dilengkapi deria sentuhan

    ROM – Seorang wanita Itali menjadi individu pertama di dunia yang berjaya menjalani prosedur pemasangan tangan bionik yang dilengkapi dengan deria sentuhan sebagaimana yang dilaporkan oleh media tempatan.

    Menurut laporan dipetik dari agensi berita ANSA, tangan bionik tersebut telah dipasang di Sant’Anna School of Advanced Studies di Pisa, Itali dan prosedur pembedahan bagi pemasangan tangan ke tubuh penerima pula telah dilakukan di Hospital Policlino Gemelli, Rom pada sekitar Jun 2016.

    Penerima bernama Almerina Mascarello, 50 merupakan seorang penduduk di wilayah Veneto yang telah kehilangan tangan kirinya setelah terlibat dalam satu kemalangan ketika bekerja di sebuah kilang ketika dia masih berusia awal 30-an.

    Kisah perjalanan kehidupan Almerina Mascarello merangkumi daripada semangat dan keberanian hatinya untuk menjalani pembedahan implan tangan bionik sekaligus berakhir dengan sebuah kejayaan sehingga membolehkan dia kembali mendapatkan deria sentuhannya itu telah berjaya mendapat perhatian dan turut diterbitkan dalam jurnal saintifik antarabangsa.

    “Tangan bionik yang telah dipasangkan pada Mascarello merupakan sebuah versi yang telah dipertingkatkan dan berbeza jika dibandingkan dengan tangan bionik yang pernah dipasang pada tangan seorang lelaki Denmark pada tahun 2014,” jelas Profesor Silvestro Micera, seorang jurutera bio yang turut mengetuai kumpulan yang bertanggungjawab dalam pemasangan tangan tersebut.

    Kehidupan Almerina Mascarello semakin ceria kembali dengan bantuan teknologi tangan bionik.
    Teknologi tangan bionik terbaru turut dilengkapi dengan deria sentuhan.
    Tangan bionik telah dipasang di Sant’Anna School of Advanced Studies di Pisa, Itali dan prosedur pembedahan bagi pemasangan tangan ke tubuh penerima pula dilakukan di Hospital Policlino Gemelli, Rom.

    Almerina Mascarello kelihatan cukup berkeyakinan untuk bersiar walaupun bahagian tangannya dilengkapi dengan implan tangan bionik.

    Micera yang juga merupakan pengarah di Makmal Kejuruteraan Neural Translasi di Sekolah Politeknik Persatuan di Lausanne, Switzerland merupakan penyelidik terkemuka dalam sistem hibrid neurprostetik atau sistem saraf manusia dengan bantuan kaedah teknologi.

    Tangan bionik prostetik ini dilengkapi dengan sistem elektronik yang memiliki data pergerakan melalui elektrod yang telah ditanamkan pada bahagian otot pemakai.

    Kemudian sistem pergerakan itu akan memancarkan isyarat elektrik yang berfungsi sebagai arahan kepada tangan bionik itu.

    Sistem ini juga turut mengubah maklumat yang dicatatkan oleh sensor pada tangan bionik untuk menjadi isyarat yang dihantar ke bahagian saraf pemakai sekaligus turut memberikan maklumat deria sentuhan.

    Menurut laporan daripada media tempatan menjelaskan bahawa prosedur pembedahan implan ini adalah cukup rumit untuk dilaksanakan serta memerlukan kos pelaksanaan yang agak tinggi.

    Walaubagaimanapun, ia merupakan langkah awal dalam menuju ke arah teknologi masa depan yang tinggi sekaligus memberikan peluang kepada teknologi robotik untuk digabungkan bersama dengan tubuh badan manusia secara lancar sekaligus memberikan sinar kehidupan baru kepada orang yang berkelainan upaya.

    “Langkah seterusnya adalah untuk menerapkan kemajuan teknologi implan secara sepenuhnya,” jelas Michera dalam sebuah temubual secara peribadi. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda