Teknologi terkini wujud peluang tenaga kerja

PETALING JAYA, 13 NOV – Impak daripada teknologi baharu dan disruptif menawarkan peluang besar bagi tenaga kerja pengalaman pelanggan (CCX) untuk memanfaatkan dan meningkatkan kemahiran kepada peranan nilai lebih tinggi dalam industri itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata industri CX global sedang mengalami revolusi besar hasil daripada automasi, kecerdasan buatan, pengoptimuman enjin carian dan mesin pembelajaran.

“Tahap perubahan itu berkembang dengan cepat, dipacu oleh teknologi dan perubahan dalam jangkaan pelanggan.

“Teknologi disruptif baharu ini telah memaksa kita untuk memikirkan semula dan menilai semula cara aktiviti CV beroperasi, sebagai contoh bagaimana Netflix telah merevolusikan cara kita menonton televisyen,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak CX 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia juga boleh meletakkan kedudukannya sebagai lokasi pilihan bagi syarikat-syarikat untuk mengembangkan operasi dan mewujudkan pusat hubungan baharu sekiranya peluang itu dioptimumkan sebaiknya. – Bernama

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tiga, kiri) ketika hadir pada majlis CX Summit 2019 kelmarin. – Bernama