Saturday, June 10, 2023
22.5 C
Brunei

    -

    Teknologi ubah pasaran pekerjaan dengan pantas

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Laporan The Future of Jobs 2020 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendapati bahawa COVID-19 telah menyebabkan pasaran pekerjaan berubah dengan lebih pantas daripada yang dijangkakan.

    Laporan itu juga menunjukkan bahawa apa yang dianggap sebagai masa hadapan pekerjaan sudah tiba dan penggunaan teknologi oleh syarikat-syarikat akan merubah tugasan, pekerjaan dan kemahiran menjelang 2025.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar (gambar) dalam ucapan alu-aluannya pada Pelancaran Rangka Kerja Kompetensi Industri ICT Brunei (BIICF) di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Ir Haji Jailani seterusnya menyatakan kira-kira 43 peratus perniagaan yang dikaji menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan tenaga kerja dalam beberapa tahun akan datang disebabkan oleh integrasi global.

    Secara global, tambahnya, kita boleh menyaksikan terdapat permintaan yang tinggi bagi pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran digital lanjutan, oleh itu, adalah amat penting untuk kita mengkontekstualisasikan prospek jangkaan bagi penggunaan teknologi, pekerjaan dan kemahiran untuk tahun-tahun akan datang.

    Walaupun pandemik COVID-19 menimbulkan cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia juga telah mempercepatkan penggunaan teknologi bagi menjana peluang-peluang baharu.

    Pendigitalan adalah amat perlu ada bagi membolehkan transformasi dan kesinambungan perniagaan dan untuk berada di hadapan cabaran-cabaran berkenaan, tiga perkara harus diberikan keutamaan.

    Pemain industri harus lincah dalam menyesuaikan model perniagaan mereka untuk memanfaatkan trend digital baharu, tenaga kerja harus sentiasa diberikan dan dinaikkan taraf kemahiran, mempelajari teknik baharu dan memperoleh kemahiran baharu serta penyedia latihan dan akademia harus mengemaskinikan kurikulum mereka dengan perkembangan industri terkini.

    Ir Haji Jailani seterusnya menyatakan bahawa Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang dilancarkan pada Jun 2020, menggariskan strategi untuk negara menjadi sebuah negara pintar yang mempunyai sebuah masyarakat bersedia untuk masa hadapan dan digital, ekonomi yang mampan dan mantap serta sebuah ekosistem digital kondusif.

    Beliau menyatakan bahawa pembangunan bakat dan tenaga manusia merupakan salah satu daripada empat tunggak strategik di bawah pelan induk di mana tumpuannya antara lain termasuk mengkaji permintaan bagi pekerjaan digital dalam semua industri, mengemaskinikan program-program pendidikan dan mengembangkan keupayaan tempatan selaras dengan kemahiran industri.

    “Dengan negara mengejar agendanya bagi transformasi digital ke arah negara pintar, MISC Working Group for ICT Sector mengenal pasti pentingnya untuk menubuhkan sebuah rangka kerja kompetensi industri ICT kebangsaan, untuk memastikan bahawa profesional ICT tempatan mempunyai kompetensi relevan untuk melaksanakan kerja mereka dan untuk membimbing mereka dengan kemahiran diperlukan yang selaras dengan keperluan industri,” ujarnya.

    Beliau turut menekankan ramuan utama pendigitalan adalah tenaga kerja yang perlu dilengkapkan dengan kompetensi dan kemahiran baharu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kucing peliharaan bunuh 300 juta haiwan di Australia

    CANBERRA, 9 JUN - Kucing peliharaan membunuh ratusan juta haiwan asli Australia setiap tahun, lapor Xinhua memetik penyelidikan Australia. Menurut laporan baharu Majlis Biodiversiti, Majlis Spesies...
    - Advertisment -