Teksi dron bakal revolusi perjalanan

SINGAPURA, 22 OKT – Teksi dron terbang menderu di dermaga Singapura hari ini, dengan firma di sebalik ujian berharap pesawat udara itu akan merevolusi perjalanan di bandar yang penuh sesak di Asia itu.

Kenderaan dengan 18 kipas itu, dicipta oleh firma Jerman Volocopter dan dengan juruterbang mengemudi demi keselamatan ketika penerbangan ujian, berlepas dari tanjung tinggi dan terbang selama kira-kira dua minit dan 30 saat di sekitar daerah Marina Bay.

Hujan lebat pada pagi hampir menangguh penerbangan, namun langit cerah membolehkan teksi dua tempat duduk dan menggunakan bateri itu terbang melepasi bangunan pencakar langit.

Sementara teksi terbang – menyerupai helikopter kecil namun dijana oleh teknologi dron – adalah automatik, terdapat seorang juruterbang di dalam ketika ujian atas sebab-sebab keselamatan.

Volocopter telah pun menjalankan ujian di Dubai, Helsinki, Jerman dan Las Vegas tetapi percubaan di Singapura merupakan yang pertama untuk firma itu di tengah bandar.

Metropolis itu mungkin di antara yang pertama untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, dengan pengeluaran komersial dijangka dalam dua hingga empat tahun, dan Volocopter berharap dapat memperkenalkan kenderaan itu di bandar Asia.

“Kami berhasrat membawanya ke Jakarta dan Manila dan Bangkok disebabkan mereka mempunyai keperluan besar, begitu juga dengan India dan China,” beritahu ketua eksekutif Volocopter Florian Reuter kepada wartawan.

Di Singapura, teksi terbang akan digunakan untuk menyediakan perjalanan segera di jalan khusus seperti dari Marina Bay ke pulau Sentosa, tempat tarikan pelancong dan hotel mewah.

Pada awal minggu ini, Volocopter melancarkan ‘VoloPort’, pelabuhan teksi terbang di pinggir perairan dengan landasan pendaratan dan pelepasan serta terminal penumpang. Pelabuhan itu tidak digunakan dalam ujian penerbangan hari ini disebabkan ia masih belum diluluskan. – AFP

Pengangkutan teksi udara Volocopter terbang di Marina Bay ketika ujian penerbangan bersama juruterbang pada Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar ke-26 (ITSWC) di Singapura pada 22 Oktober. – AFP