Telan atau luahkan?

APA sebenarnya tindakan paling baik perlu dilakukan ketika marah? Menurut Profesor Dr. Marhani Midin, Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata bahawa jika anda dapati diri terlalu senang naik marah, yang paling utama ialah cuba bantu diri sendiri.

Pertama sekali, kita perlu sedari emosi marah itu sendiri dan terima ia seadanya. Ramai yang secara sedar atau tidak, menidakkan perasaan marah disebabkan anggapan perasaan marah itu jahat.

Kita perlu terima, kita hanyalah manusia biasa, dan manusia biasa mempunyai pelbagai emosi, termasuklah emosi marah.

Tidak salah untuk merasa marah, tetapi yang tidak bagus adalah bertindak terburu-buru ketika sedang marah kerana itu akan menimbulkan kemarahan orang dan menyebabkan pergaduhan yang merugikan kita. Jadi, apabila sudah sedar ada perasaan marah, elakkan tindakan terburu-buru.

Ingat, semua emosi boleh diuruskan, apabila marah. Langkah pertama, berhenti! Tangguhkan tindakan anda. Tetapi ini tidak bermakna seseorang itu perlu menahan marah sehinggakan memakan dirinya sendiri. Marah merupakan suatu stres kepada minda dan badan, dan jika berlaku secara berterusan, ia boleh menambah risiko pelbagai penyakit.

Menurut Profesor Dr. Marhani Midin berkata bahawa jika anda dapati diri terlalu senang naik marah, yang paling utama ialah cuba bantu diri sendiri. – Gambar hiasan
Tidak salah untuk merasa marah tetapi yang tidak bagus adalah bertindak terburu-buru ketika sedang marah kerana itu akan menimbulkan kemarahan orang dan menyebabkan pergaduhan yang merugikan kita. Jadi, apabila sudah sedar ada perasaan marah, elakkan tindakan terburu-buru. – Gambar hiasan

Kemarahan berpanjangan, sama seperti stres yang berpanjangan, akan mengaktifkan hormon kortisol yang dalam jangka masa panjang mengundang pelbagai penyakit sama ada mental mahupun fizikal.

Tambah Prof. Marhan, kemarahan perlu dihadapi dengan bijak supaya anda tidak menyesal di kemudian hari kerana individu yang paling terhukum disebabkan marah dan tindakan yang didorong oleh marah, bukanlah subjek yang dimarahi, tetapi hanya diri sendiri.

Ambil masa untuk bertenang atau cuba larikan diri daripada apa sahaja yang membuatkan anda marah. Fikirkan sesuatu perkara yang boleh menyuntik rasa tenang dalam diri. Ingat, perasaan marah ini tidak akan berkekalan, anda akan kembali bertenang cuma anda perlukan sedikit masa.

Ditanyakan bagaimana caranya untuk menyejukkan hati yang sedang marah, ini jawapan Prof. Marhani.

“Cara yang paling baik adalah dengan memaafkan. Mungkin kedengaran sukar, tetapi percayalah dengan memaafkan kita dapat membebaskan diri daripada belenggu emosi negatif dan akan memberikan impak yang besar kepada diri sendiri.

“Mungkin pihak satu lagi tidak layak mendapat kemaafan kita, tetapi kita berhak untuk mendapat ketenangan dan kebebasan daripada beban marah.”

Tukar marah jadi duit pendapatan

Tak percaya? Tetapi inilah yang dilakukan oleh sepasang suami isteri di Texas, Amerika Syarikat. Mereka sendiri tidak menyangka pengalaman mereka menyaksikan sekumpulan remaja memukul dan memecahkan bahkan buangan yang diambil dari trak sampah telah memberikan idea untuk mewujudkan ‘Tantrums LLC’ sebuah perniagaan yang membenarkan orang ramai untuk ‘lepas marah’ tanpa menyebabkan mereka menghadapi masalah dengan pihak berkuasa.

Tantrums LLC menawarkan mesin cetak, televisyen dan bermacam-macam-macam objek lain untuk dihancurkan menggunakan pemukul besbol tetapi masih dalam persekitaran yang selamat. Selain memberikan kemudahan untuk orang melepaskan kemarahan, ia juga mendatangkan hasil yang lumayan.

Apabila anda marah, sejumlah besar darah akan mengalir laju ke bahagian otak, meningkatkan tekanan di bahagian cerebral vaskular mengakibatkan toksin dalam darah yang boleh mempercepatkan proses penuaan otak. – Gambar hiasan
Cara untuk menyejukkan hati yang sedang marah adalah dengan memaafkan. Mungkin kedengaran sukar, tetapi percayalah dengan memaafkan kita dapat membebaskan diri daripada belenggu emosi negatif dan akan memberikan impak yang besar kepada diri sendiri. – Gambar hiasan

Rupanya Tantrums LLC bukanlah satu-satunya perniagaan yang menawarkan khidmat ini. ‘Rage rooms’ dan ‘anger rooms’ merupakan antara perniagaan yang beroperasi untuk tujuan yang sama, malahan, perniagaan ini dikatakan sudah tersebar sehingga ke Rusia. Cara menarik untuk buat duit bukan?

7 perkara anda perlu tahu!

Anda tahu apa yang berlaku kepada tubuh badan ketika sedang marah? Apabila seseorang individu itu marah, dia sebenarnya sedang merosakkan tujuh organ penting dalam tubuh. Mengejutkan?

1.Kulit

Apabila dilanda kemarahan, kandungan toksin dalam darah akan meningkat di bahagian otak, yang merangsang folikel rambut. Ini boleh mengakibatkan pelbagai peringkat keradangan yang mungkin boleh menyebabkan masalah pigmentasi dan ekzema. Bagi kaum wanita, uterus dan kelenjar susu akan terganggu, manakala bagi kaum lelaki pula ia akan menyerang organ hati.

2.Tiroid

Kemarahan yang kerap menyebabkan disfungsi tiroid, seperti hipertiroid.

3.Paru-paru

Apabila seseorang wanita itu dikuasai emosi marah, mereka bernafas dengan laju menyebabkan alveoli mereka terus berkembang yang berbahaya kepada paru-paru.

4.Jantung

Sebahagian besar darah mengalir dengan laju ke bahagian otak dan muka, keadaan ini menyebabkan bekalan darah ke jantung berkurang yang boleh menyebabkan Iskemia Miokardium, degupan jantung tidak teratur – yang boleh menjadi punca kepada masalah jantung.

5.Otak

Apabila anda marah, sejumlah besar darah akan mengalir laju ke bahagian otak, meningkatkan tekanan di bahagian cerebral vaskular mengakibatkan toksin dalam darah yang boleh mempercepatkan proses penuaan otak.

6.Perut

Kemarahan boleh merangsang sistem saraf simpatik, yang secara langsung memberi kesan kepada jantung dan saluran darah, mengurangkan aliran darah ke sistem gastrointestinal, melambatkan peristalsis, yang boleh menyebabkan ulser perut.

7.Organ hati

Apabila seseorang itu marah, rembesan hormon katekolamin akan meningkat di dalam badan menyebabkan kandungan gula dalam darah meningkat, asid lemak menjadi terurai dan meningkat kandungan toksin dalam darah dan organ hati. Jadi, setiap kali emosi marah cuba ‘menjentik’, ingatlah kesihatan diri ada perkara paling utama. Hadapi emosi marah dengan bijak dan hargai hidup dan cuba hidup dengan gembira. – Agensi