BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Telekom Brunei Berhad (TelBru), awal minggu ini, telah memperkenalkan keupayaan-keupayaan perkhidmatannya yang berpotensi untuk menawarkan pelanggan-pelanggan perniagaan dan kediaman dengan kelajuan sehingga 1GBps.
Ini meletakkan Brunei setara dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, beberapa buah negara di Eropah serta Wilayah Autonomi China, Hong Kong dan Singapura, menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru, di sini, hari ini.
Semasa lawatan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke premis-premis syarikat berkenaan, baru-baru ini, TelBru mengambil kesempatan untuk berkongsi potensi masa depan Internet Brunei yang membawakan pelbagai kemungkinan dalam bidang ekonomi, perniagaan, hiburan dan perhubungan terutamanya ke arah menangani peningkatan permintaan data daripada penduduk.
Kenyataan menjelaskan, perkhidmatan berkenaan akan diperkenalkan dahulu kepada entiti perusahaan dan korporat sebagai percubaan dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan tawaran awal berasaskan pada lokasi-lokasi Fiber-to-the-home (FTTH) tertentu ketika syarikat itu berusaha untuk mengembangkan keupayaan berkenaan ke lokasi-lokasi kediaman di seluruh negara selaras dengan pengenalan FTTH TelBru di negara ini.
Seiring dengan perkembangan terkini ini, syarikat berkenaan juga menunjukkan kepada ahli-ahli MMN mengenai penggunaan teknologi baharu bagi kawasan-kawasan yang sukar dicapai terutamanya perkhidmatan wayarles tetap TelBru bagi penduduk Kampong Ayer.
Menurut kenyataan itu, sejak pelancarannya awal tahun lalu di Kampong Ayer, TelBru telah dapat menyediakan liputan Internet ke majoriti tempat bersejarah berkenaan, tidak lagi menggunakan sambungan tembaga yang kerap disabotaj, menyebabkan gangguan perkhidmatan TelBru kepada penduduk.
Sebagai langkah ke hadapan, TelBru memberikan jaminan bahawa mereka akan terus berusaha untuk membuat pembaharuan dan melaksanakan langkah-langkah serta memperkenalkan teknologi terkini bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Brunei di mana sahaja mereka berada.