BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Telekom Brunei Berhad (TelBru), hari ini, telah memperkenalkan perkhidmatan Klinik Jalur Lebar percuma yang dikembangkan bagi memenuhi lagi keperluan pelanggan Fibre-to-the-Home (FTTH) dalam usaha berterusannya memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan yang terus meningkat selaras dengan pemasangan FTTH.
TelBru dalam kenyataannya menjelaskan, kaunter-kaunter Klinik Jalur Lebar yang terletak di cawangannya di Citis Square, Berakas dan Kuala Belait itu dibukakan kepada pelanggan-pelanggan yang mengunjungi cawangan berkenaan yang ingin mengkonfigurasi atau menguji Customer-Premises Equipment (CPE), terutamanya modem Terminal Rangkaian Optik (ONT) jika diperlukan.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan nilai tambah terkini berkenaan merupakan tambahan kepada skop bantuan pelanggan Klinik Jalur Lebar yang sebelumnya terhad kepada pelanggan e-Speed dan kemajuan teknologi mudah alih telah membolehkan TelBru untuk memberi lebih perkhidmatan kepada pelanggan FTTH.



TelBru turut menjelaskan sebab-sebab kenapa perlu mengkonfigurasi atau menguji CPE, termasuk cabaran-cabaran dalam menyambung ke Internet yang memerlukan pemeriksaan fizikal peralatan berkenaan.
Kadangkala, pelanggan perlu menggantikan ONT mereka kerana pengehadan alat ujian dengan kemungkinan dikenakan kos. Bagaimanapun, perkhidmatan baru berkenaan, mengurangkan kemungkinan bagi penggantian.
Pelanggan yang ingin memastikan kebolehpercayaan ONT standard yang dikeluarkan TelBru digalakkan untuk mengunjungi Klinik Jalur Lebar berkenaan semasa waktu pejabat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan TelBru di talian 111 atau rangkaian-rangkaian media sosialnya bagi maklumat lanjut.