Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Sebagai pengiktirafan kepada kakitangannya yang menunjukkan dedikasi dalam memberikan khidmat pelanggan yang terbaik, Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah meraikan 21 orang ‘wira’ syarikat berkenaan pada Majlis Anugerah Hero Perkhidmatan TelBru.
Majlis berkenaan berlangsung di Hotel Brunei di ibu negara di mana kakitangan berkenaan menerima insentif berupa kewangan, sijil dan lencana Hero TelBru.
Penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan, Dayang Nurbahriah Eliza binti Abdullah juga selaku pemangku ketua pegawai eksekutif TelBru.


Majlis penganugerahan berkenaan merupakan sebagai platform dalaman bagi mengiktiraf kakitangan yang menjalankan tugas dengan baik.
Para penerima dinilai daripada faktor dalaman dan luaran, penyampaian berkualiti, menyelesaikan masalah pelanggan secara teratur dan profesional.
Antara kejayaan yang dicapai bagi menerima anugerah berkenaan termasuk bertugas sehingga waktu malam bagi mengurangkan masalah pelanggan seperti kabel Internet terputus sebelum ini yang menjejaskan sambungan Internet kepada 600 pelanggan.