TelBru teruskan bantuan kebajikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Telekom Brunei Berhad (TelBru) dalam tahun ketiga berturut-turut menghulurkan bantuan kewangan kepada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

Bantuan kewangan berjumlah $5,000 itu bermula sejak 2014, merupakan kerjasama di antara TelBru dan MKM bagi membantu keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan kewangan bagi menyediakan keperluan persekolahan bagi musim persekolahan tahun ini.

Sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay kepada Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Mohd Kassim pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat TelBru, Kompleks Yayasan hari ini.

Turut hadir ialah anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dan kakitangan syarikat itu.

David Kay semasa menyampaikan sumbangan kepada Datin Paduka Hajah Intan.
David Kay semasa menyampaikan sumbangan kepada Datin Paduka Hajah Intan.

Pada hujung bulan ini, MKM dan juga TelBru akan mengadakan perjumpaan bersama dengan para penerima sumbangan yang mana para penerima kanak-kanak akan diberikan peluang untuk memilih barangan sekolah mereka sendiri dalam sama-sama memberikan sokongan dan motivasi terhadap pengajian akademik mereka.

Program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat TelBru yang menekankan kepentingan pendidikan terutamanya dalam kalangan generasi muda.