Telefilem melayu raikan pengorbanan seorang ibu

Oleh Adiiwira

Ibu merupakan insan yang kita sanjung setinggi langit dan cintai sepenuh hati. Tanpa kehadiran ibu, siapalah kita dan setentunya kita tidak akan dapat melihat bulan dan matahari. Kerana insan bergelar ibu inilah juga membuat kita berjaya sehingga ke hari ini.

Sebagai penghargaan kepada ibu-ibu di seluruh dunia, hari ibu akan disambut pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun dan tahun ini jatuh pada tanggal 10 Mei. Di Indonesia, hari ibu dirayakan pada tanggal 22 Disember dan ditetapkan sebagai perayaan nasional. Manakala, di beberapa negara Eropah dan Timur Tengah, Hari Wanita Antarabangsa diperingati setiap tanggal 8 Mac.

Ramai yang tidak melepaskan mengucapkan penghargaan kepada ibu masing-masing atau insan yang bergelar ibu atas pengorbanan mereka selama ini. Tidak kira lah suami, anak-anak, mahupun lingkungan sosial seorang ibu. Ada yang membuat post gambar berdua bersama ibu atau gambar ibu bersendirian di laman sosial masing-masing.

Secara logiknya, kita tidak mampu membalas pengorbanan ibu selama ini, namun dengan penghargaan dan bukti kasih sayang kita kepada ibu dan menjadikannya ratu di hati sedikit sebanyak melegakan perasaan ibu kita kerana pengorbanannya selama ini bermakna.

Dalam masa yang sama, drama dan telefilem Melayu tidak melepaskan peluang untuk menghargai warga ibu yang disiarkan melalui pelbagai siaran televisyen. Dalam ruangan minggu ini, penulis tertarik dengan dua buah telefilem yang disiarkan sempena memperingati hari ibu. Di mana, dua buah telefilem itu ialah Nurul Najwa dan Redaku.

Nurul Najwa merupakan telefilem khas hari ibu yang disiarkan pada 9 Mei lalu di saluran TV1. – Agensi
Vanidah Imran dan Faizal Hussien antara pelakon terkenal yang membintangi telefilem Nurul Najwa. – Agensi
Antara barisan pelakon yang membintangi telefilem Redaku yang disiarkan sempena hari ibu. – Agensi
Salah satu babak dalam filem Redaku.- Agensi

Nurul Najwa merupakan telefilem yang diarahkan oleh Hasnul Suhadi dan diterbitkan oleh Maficomm Resources Sdn Bhd yang disiarkan di saluran RTM TV1 pada 9 Mei lalu. Telefilem ini menampilkan barisan pelakon seperti Vanidah Imran, Intan Najuwa, Faizal Hussien, Bella Dowanna, Izzya Reen, Shaida Ali dan ramai lagi.

Nurul Najwa mengisahkan tentang seorang kaunselor di sebuah pusat pemulihan akhlak. Beliau memilih haluan tersebut selepas bercerai dengan suaminya, Sulaiman yang menghalangnya untuk menjaga anak perempuan mereka, Fatin yang berusia tiga tahun ketika itu. Najwa disayangi oleh pelatih di pusat pemulihan dan dipanggil sebagai ‘ibu’ oleh mereka seiring dengan kasih sayang yang dicurahkannya. Najwa menerima pelatih baharu, Fatin yang bermasalah dengan ketagihan dadah. Najwa mula rapat dengan Fatin untuk mendalami masalah yang dihadapinya seperti rutin kebiasaan yang dilakukan pada pelatih baharu.

Berdasarkan daripada pengisahan telefilem ini menunjukkan bahawa penulis telefilem ini menjadikan watak Nurul Najwa sebagai seorang wanita atau khususnya sebagai seorang ibu yang memiliki kecekalan hati yang kuat. Hal ini kerana meskipun dirinya terhalang daripada menjaga anaknya sendiri, namun kasih sayang seorang ibu dicurahkannya pada pelatih-pelatih di pusat pemulihan akhlak tempatnya bekerja. Sehinggakan dirinya dianggap sebagai ‘ibu’ oleh pelatih-pelatih.

Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa kasih yang dicurahkan oleh Nurul Najwa kepada pelatih itu ibarat kasihnya terhadap anaknya sendiri. Sebagai seorang wanita, naluri keibuan itu sentiasa ada di dalam diri. Tanpa mengira anak kandung atau bukan, kasih sayang seorang ibu tetap dicurahkan kepada sesiapa yang sangat memerlukan kehadiran ibu untuk mendengar keluhan dan kesakitan yang dirasakan. Namun, tidak mustahil kasih dan sayang terhadap anak kandung melebihi kasihnya terhadap pelatih di bawah jagaannya.

Telefilem Redaku disiarkan pada Sabtu lalu melalui saluran Okey. Telefilem ini diarahkan oleh Nurhalim Haji Ismail dan diterbitkan oleh Sumur Mutiara Sdn Bhd yang menampilkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Azizah Mahzan, Reen Rahim, Azira Shafinaz, Nur Risteena, Lan Siro dan ramai lagi.

Telefilem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang sudah berkeluarga mengorbankan kerjaya dan masa beliau dengan menjaga ibu beliau yang jatuh sakit demi membalas jasa serta budi baik ibu beliau sewaktu menjaganya semasa kecil. Berbeza dengan telefilem yang pertama dijelaskan, Redaku ini lebih menonjolkan kasih sayang seorang anak kepada ibunya yang ingin membalas jasa atas pengorbanannya selama ini.

Sebagaimana yang penulis jelaskan tadi, kita tidak mampu membalas pengorbanan seorang ibu yang melahirkan, membesarkan dan memberikan didikan duniawi dan ukhrawi sehingga kita berjaya. Maka wajar bagi seorang anak untuk membalas pengorbanan ibu selama ini sebagaimana yang digambarkan melalui watak utama lelaki yang ingin sanggup mengorbankan kerjaya dan masa demi menjaga ibunya yang sakit.

Ibu tidak pernah meluahkan rasa letih dan sakitnya menjaga, mendidik dan membesarkan kita.

Apa yang dimahukan seorang ibu adalah anaknya sentiasa bahagia. Bagi mereka kebahagiaan anak adalah kebahagiaan mereka. Mereka sanggup bersakit demi anaknya, asalkan bukan anaknya mengalami kesakitan. Insan bergelar ibulah permata yang bersinar dalam hidup kita, kehilangan mereka merupakan tiada gantinya. Justeru, sayangi dan hargailah ibu selagi mereka masih ada.

Selamat hari ibu!