Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Telefon bimbit terpakai diubah jadi seni

    BINGERVILLE, IVORY COAST – Mencantum papan kekunci telefon bimbit yang dibuang untuk membuat seni, artis Ivory Coast Mounou Desire Koffi berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang pencemaran.

    “Saya mahu menyumbang sesuatu yang baharu,” kata artis itu, yang karyanya dipamerkan di Abidjan sehingga Julai.

    Di studionya di Bingerville, berhampiran ibu kota perniagaan Ivory Coast, lelaki berusia 28 tahun itu menganggap dirinya sebagai ‘artis kontemporari muda’ yang mahu menonjolkan diri di khalayak ramai.

    “Saya minat melukis sejak kecil. Saya selalu disuruh guru untuk memberikan lakaran pelajaran di papan hitam,” katanya.

    Apabila dia memutuskan mahu pergi ke sekolah seni, ibu bapanya yang bekerja sebagai petani di barat daya Ivory Coast, kurang memahami tentang seni. Sehinggakan guru seninya terpaksa melawat untuk memujuk mereka supaya membenarkannya menceburi bidang tersebut.

    Artis Ivory Coast, Mounou Desire Koffi menghasilkan karya seni dengan papan kekunci telefon bimbit terpakai di kediamannya di Bingerville, komune Abidjan. – AFP
    Kelihatan Mounou Desire Koffi memotong imej pada karpet yang diperbuat daripada papan kekunci telefon bimbit terpakai. – AFP

    Selepas menamatkan pengajian di kelas teratasnya dari Sekolah Seni Abidjan, dia mula mencari papan kekunci dan skrin telefon bimbit lama di tepi jalan, di longkang dan di kawasan sampah.

    “Sekarang saya mempunyai seluruh pasukan yang dibayar mengikut kualiti yang dijumpai mereka,” katanya.

    “Saya memberitahu mereka: Berhenti membuang barang. Bawa barang berkenaan kepada saya dan kita boleh melakukan sesuatu dengannya.”

    ‘Selesaikan masalah’

    Di studionya, seseorang telah menghantar beg yang penuh dengan alat ganti telefon bimbit.

    Koffi menyelongkar di dalam timbunan papan kekunci dan skrin untuk mencari apa yang diperlukannya. Meletakkannya sebelah menyebelah di atas kanvas, dia mencipta bayang manusia yang berwarna-warni dalam persekitaran bandar. Beberapa karyanya dijual sehingga mencecah harga AS$1,500.

    Beliau berkata matlamatnya adalah untuk cuba ‘menyelesaikan masalah’ di negara di mana pengasingan sampah hampir tidak wujud, dan kebanyakan sisa isi rumah berakhir di longgokan tepi jalan.

    “Kebanyakan karya saya mencerminkan kewujudan manusia dalam hidupan harian dalam masyarakat,” katanya.

    “Saya fikir telefon adalah alat yang paling dekat dengan kita pada masa ini. Hampir semua kita menyimpan sesuatu dalam telefon.”

    Artis itu, yang telah mempamerkan karyanya di Maghribi, Belgium dan Perancis, berkata karyanya berusaha untuk mencetuskan renungan tentang pembaziran. “Kami menemui pelbagai benda dalam tong sampah… Saya cuba menyedarkan orang ramai.”

    Berminat menggambarkan perdebatan semasa, Koffi dalam lukisannya menggambarkan pencemaran, tetapi juga banjir, kesesakan lalu lintas dan kanak-kanak. Salah satu siri terbaharunya, bertajuk Life here, mengisahkan kehidupan seharian di Abidjan.

    Selepas pameran pertama di bandar pesisir Bassam, karyanya kini dipamerkan di Yayasan Donwahi di ibu negara sehingga Julai. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...