GEORGETOWN, 24 MEI – Kebakaran asrama sekolah di Guyana yang meragut 19 nyawa hujung minggu lalu berlaku akibat perbuatan seorang pelajar yang marah kerana telefon bimbitnya dirampas.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan rasmi polis mengesahkan seorang pelajar perempuan disyaki memulakan kebakaran itu kerana telefon bimbitnya dirampas oleh warden asrama dan guru.
Pelajar remaja itu mengaku memulakan kebakaran berkenaan dan kini diletak di bawah kawalan polis di sebuah hospital daerah di bandar Mahdia. Polis kini sedang meneliti sama ada akan membuat pertuduhan terhadap suspek atau sebaliknya.
Ahad lalu, sebuah asrama yang menempatkan 57 pelajar perempuan berusia 11 hingga 17 tahun hangus dijilat api, menyebabkan 19 pelajar maut dan 20 kanak-kanak dibawa ke hospital, dengan dua daripadanya dalam keadaan kritikal.
“Mereka (kakitangan asrama) merampas telefon bimbit pelajar perempuan itu dan pada malam sama, suspek mengugut untuk membakar asrama itu dan semua orang mendengarnya,” kata sumber yang enggan dikenali.
Menurut sumber itu, pelajar perempuan terbabit kemudian pergi ke kawasan bilik mandi dan menyembur racun serangga pada tirai lalu membakarnya. Sejumlah pelajar lain yang menjadi saksi turut menceritakan perkara sama.
Susulan itu, beberapa pelajar lain cuba memadamkan api yang dinyalakan, namun kebakaran itu merebak pantas menerusi siling yang diperbuat daripada kayu, sebelum memusnahkan keseluruhan bangunan. – AFP
