Telefon lima menteri Perancis digodam Pegasus

PARIS, 24 SEPT – Telefon bimbit sekurang-kurangnya lima menteri Perancis dan seorang penasihat diplomatik kepada Presiden Emmanuel Macron dijangkiti perisian pengintipan Pegasus buatan Israel, beritahu sumber kepada AFP hari ini, sekali gus mengesahkan satu laporan oleh laman web siasatan Mediapart.

Perkhidmatan keselamatan Perancis mengesan perisian itu ketika memeriksa telefon berkenaan, dengan pencerobohan dipercayai berlaku pada 2019 dan 2020, menurut laporan dari Mediapart hari ini.

Pegasus, dibuat oleh firma Israel Kumpulan NSO, boleh membuka kamera telefon atau mikrofon dan mengambil datanya, dan menjadi tumpuan kegemparan pada Julai selepas senarai kira-kira 50,000 sasaran pengintipan berpotensi di seluruh dunia dibocorkan kepada media.

Konsortium media di sebalik pendedahan, termasuk The Washington Post, The Guardian dan Le Monde, melaporkan pada masa itu bahawa salah satu telefon Macron dan menteri kabinet Perancis berada dalam senarai sasaran berpotensi.

Pihak berkuasa Perancis enggan memberi komen hari ini.

Lima menteri yang disasarkan ialah Menteri Pendidikan Jean-Michel Blanquer, Menteri Perpaduan Wilayah Jacqueline Gourault, Menteri Pertanian Julien Denormandie, Menteri Perumahan Emmanuelle Wargon dan Menteri Wilayah Luar Negara Sebastien Lecornu, menurut Mediapart.

Dua sumber Perancis mengesahkan kesahihan laporan, sementara meminta namanya tidak disiarkan disebabkan mereka tidak dibenarkan bercakap kepada media. – AFP