Telefon model baharu Samsung dilancarkan

Oleh Izah Azahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Selaku pengedar utama telefon bimbit jenama Samsung di negara ini, DSTINCOMM hari ini secara rasminya telah melancarkan siri Samsung Galaxy Note 20 di Samsung Experience Store di ibu negara.

Hadir sebagai tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan telefon bimbit model baharu itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST Group, Ang Siok Tuan bersama Timbalan Ketua Perdana Privilege Banking, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Dayang Salamah binti Embran.

Dengan reka bentuk yang hebat, telefon bimbit pertama yang menyatukan pen dengan telefon itu meletakannya antara telefon terkini serba baharu yang akan mengubah cara pemiliknya bekerja dalam ekosistem Galaxy.

Keluaran telefon model terbaharu itu turut dilengkapi dengan kamera 8K pro-suite dengan pelbagai pilihan penyuntingan, sekali gus memberikan pemiliknya satu lagi tahap yang lebih baik.

Samsung Galaxy Note 20 tersedia dalam dua saiz – Note 20 6.7 inci dan Note 20 Ultra dengan paparan 6.9 inci Dynamic AMOLED Infinity-O. Sebelum pelancaran, DSTINCOMM telah membuka pra tempahan pada awal Ogos lalu bagi jenama baharu itu, di mana pelanggan tempahan awal akan menerima Galaxy Buds Live atau Galaxy Buds + secara percuma.

Ia juga tersedia dalam penjualan set kotak secara individu di DSTINCOMM. Pelanggan juga boleh menikmati potongan sehingga 10 peratus jika mereka menggunakan kad kredit atau debit BIBD mereka untuk membeli telefon bimbit berkenaan.

Ang Siok Tuan dan Dayang Salamah ketika melancarkan siri Samsung Galaxy Note 20.