‘Telefon polis jika ada paksaan bekerja’

Oleh Nurdiyanah R & Salawati Hj Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Mana-mana majikan yang memaksa pekerja mereka yang belum lengkap menerima suntikan vaksin untuk datang bekerja ke pejabat boleh dikenakan denda kira-kira $2,000.

“Kecuali hanya pekerja daripada sektor pertanian atau minyak dan gas sahaja yang dibenarkan untuk bekerja ke pejabat walaupun mereka hanya baru mendapatkan satu dos vaksin,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan media mengenai majikan yang mengarahkan pekerja yang belum melengkapi suntikan vaksin iaitu hanya satu dos untuk datang bekerja ke pejabat.

Yang Berhormat Dato menyebutkan garis panduan kerajaan Negara Brunei Darussalam hanya membenarkan masyarakat yang memiliki suntikan vaksin dengan lengkap untuk meneruskan pekerjaan mereka di premis masing-masing kecuali sektor-sektor tertentu seperti sektor minyak dan gas dan juga pertanian.

Maka dalam hal ini, katanya, adalah menjadi satu kesalahan jika sekiranya berlaku paksaan bekerja daripada majikan kepada pekerja mereka yang belum lengkap suntikan vaksin dan boleh dikenakan denda sekurang-kurang $2,000.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato turut menyarankan bagi orang ramai yang mengalami situasi sedemikian adalah dikehendaki untuk melaporkannya kepada pihak polis bagi menangani isu tersebut.

Dalam usaha menga-wal penularan COVID-19 pada Fasa Peralihan ini, para majikan diseru untuk sama-sama memikul tanggungjawab dengan pihak kerajaan dan mematuhi segala apa juga arahan yang telah dikeluarkan.

Ditanya mengenai majikan yang mengarahkan pekerja datang ke pejabat walaupun mengetahui had kapasiti telah melebihi 50 peratus, Yang Berhormat Dato sekali lagi mengingatkan para majikan bahawa pekerja yang baru mendapatkan satu dos vaksin yang hanya dibenarkan untuk bekerja itu adalah untuk sektor pertanian dan sektor minyak dan gas.

“Manakala itu, pekerja yang menerima satu dos vaksin untuk sektor pembinaan tidak dibenarkan dalam Fasa Peralihan ini,” jelasnya.