Telekung arwah ibu jadi pengubat rindu

Kerinduan tiada berpenghujung apabila mengingati insan yang sudah tiada. Apatah lagi, insan dirindui adalah wanita bernama ibu yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan, kaku segala-galanya dan separuh jiwa seakan dibawa pergi saat mendapat berita wanita yang menjadi tempat bermanja dan mengadu kini sudah tiada di depan mata.

Begitulah gejolak emosi dialami Ratu Rock, Ella (gambar) ketika ibu tercinta, Yang Asmah menghembuskan nafas terakhir pada Mac lalu akibat sakit tua.

Meskipun sudah lapan bulan pemergiannya, pemilik nama lengkap Norzila Aminuddin, 55, mengakui, rasa rindu terhadap arwah tidak pernah surut hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

“Ketika ibu meninggal dunia, apa yang bermain dalam fikiran adalah saya sudah tidak mempunyai ibu. Wanita yang cukup bermakna dalam hidup kini sudah tiada.

“Kehidupan saya juga sudah tidak seindah dahulu.

“Sukar untuk digambarkan betapa sedihnya saya ketika itu. Benar kita semua akan mati, tetapi pemergian arwah ketika kita semua berada dalam situasi pandemik COVID-19 menambahkan lagi tekanan yang ada.

“Rasa sedih dan rindu yang teramat. Namun, sebagai orang Islam, saya kena belajar terima hakikat dan reda dengan pemergiannya. Jadi, saya cekalkan hati dan tabah untuk menghadapinya,” katanya ketika ditemu bual pihak media baru-baru ini.

Sebagai penawar tatkala rindu bertandang, penyanyi yang popular dengan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu ini menjadikan telekung peninggalan arwah sebagai peneman.

“Arwah banyak meninggalkan barang-barang, salah satunya yang saya sayang dan setiap hari dipakai adalah telekung miliknya.

“Telekung inilah menjadi pengubat rindu saya terhadapnya,” ujarnya dalam nada sebak.

Mengakui mengambil masa untuk merawat rasa kesedihan, Ella berkata, sebagai hanya doa yang mampu dititipkan buat arwah ibunya.

“Pada mulanya, Ella hanya berkurung di rumah dan tak berhajat langsung mahu keluar ke mana-mana. Hanya doa yang mampu dipanjatkan dan sering menziarahi pusaranya.

“Namun, berkurung dalam rumah bukanlah jalan penyelesaian, malah, tidak membantu langsung. Justeru, saya ambil keputusan untuk menyibukkan diri dengan kerja.

“Dalam masa yang sama, saya tidak lupa banyakkan bersedekah untuknya. Rasanya, arwah pun tidak suka melihat saya terus mengurung diri dan meratapi pemergiannya,” luah bekas vokalis kumpulan Ella & The Boys ini.

Lebih tiga dekad berada dalam belantara muzik, Ella tidak dinafikan gelaran Ratu Rock yang disandangnya masih kekal relevan hingga hari ini.

Malah, tiada sesiapa mampu mengambil alih tempatnya, walaupun dunia seni pernah cuba melahirkan penyanyi pelapis dalam genre muzik rock. – Agensi