BANGKOK, 18 JAN – Syarikat telekomunikasi Norway, Telenor merancang untuk menjual 51 peratus sahamnya dalam syarikat teknologi Myanmar, Wave Money kepada rakan peniagaan utamanya, Yoma Strategic Holdings.
Telenor mengesahkan perjanjian sebanyak AS$53 juta, yang dilaporkan sebelum ini, dalam kenyataan yang dilihat hari ini menerusi laman webnya.
Yoma diasaskan oleh taikun Myanmar, Serge Pun. Pembelian itu memberikannya 75 peratus saham dalam syarikat, sebelum ini dikenali sebagai Digital Money Myanmar Ltd. Bakinya dipegang oleh pelabur persendirian.
Wave Money memberikan perkhidmatan pemindahan wang dan pembayaran digital.
Ia memainkan peranan penting dalam urusan kewangan Myanmar, terutama selepas perkhidmatan perbankan biasa terjejas berikutan rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021.
Telenor sejak itu cuba menarik diri dari Myanmar, namun ia setakat ini belum memuktamadkan rancangan penjualan rangkaian telefon bimbitnya, yang diumumkan pada Julai, kepada M1 Group, sebuah firma pelaburan yang berpangkalan di Lubnan.
Telenor mengumumkan penjualan perniagaannya selepas pengambilalihan tentera yang mencetuskan bantahan awam dan pihak berkuasa telah mengehadkan akses telefon bimbit dan internet.
Pada 2020, Wave Money telah memproses AS$8.7 bilion dalam pembayaran, bersamaan dengan kira-kira 12 peratus KDNK Myanmar, menurut Telenor. Ia mempunyai 45,000 buah ‘Kedai Wave’ di seluruh negara. – AP