Telenor tamat kerjasama Huawei

LONDON, 15 DIS – Pengendali Wireless terbesar Norway, Telenor, pada Jumaat memilih syarikat dari Sweden Ericsson untuk menjadi pembekal bagi sebahagian rangkaian 5Gnya, menamatkan kerjasamanya dengan firma gergasi teknologi China Huawei selepas satu dekad.

Syarikat tersebut memberikan isyarat bahawa ia akan secara beransur-ansur menghapus peralatan Huawei tatkala ia meningkatkan kelengkapan radio untuk rangkaian peranti generasi akan datang, dalam satu langkah yang mungkin memuaskan Amerika Syarikat (AS), yang sedang melobi sekutu Eropah untuk mengetepikan syarikat China tersebut disebabkan kebimbangan pengintipan siber.

Syarikat tersebut ‘menjalankan penilaian keselamatan meluas’ dalam proses pemilihan mereka, di samping menimbangkan beberapa faktor seperti kualiti teknikal, syarat komersial dan keupayaan untuk membuat pembaharuan dan pemodenan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telenor, Sigve Brekke.

“Berdasarkan penilaian menyeluruh dan holistik, kami telah memutuskan untuk memperkenalkan rakan kongsi baharu kami untuk peralihan teknologi yang penting di Norway,” kata Brekke.

Telenor, yang akan meninggalkan Huawei selepas bekerjasama selama satu dekad, berkata mereka akan terus menggunakan peralatan dari syarikat China tersebut tatkala ia beralih kepada rangkaian baharu dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang. Ia telah pun memilih Ericsson dan Nokia untuk membina rangkaian 5G. – AFP