Teleport AirAsia ambil alih Delivereat AS$9.8 juta

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Unit logistik digital AirAsia, Teleport, memeterai perjanjian untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam platform penghantaran makanan dalam talian tempatan, Delivereat, pada harga AS$9.8 juta untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan penghantarannya di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Teleport Pete Chareonwongsak berkata pengambilalihan itu akan dibayar menerusi gabungan bayaran tunai dan saham syarikat.  

Beliau berkata pembelian itu akan menyediakan peluang bagi Teleport mengembangkan ekosistem logistik uniknya di samping Delivereat.

Teleport mahu melakukannya segera, bermula di bandar raya utama di Malaysia dan di ASEAN, katanya.

“Kami komited sepenuhnya dalam urusan penghantaran dalam masa 24 jam yang menjadi pertaruhan kami bagi apa yang dijangka berlaku pada masa depan dalam industri logistik e-dagang di rantau ini,” katanya pada persidangan meja bulat media secara maya yang diadakan di sini, hari ini. – Bernama