Teleport tingkat kapasiti perkhidmatan kargo

KUALA LUMPUR, 9 JUN – Teleport, cabang logistik AirAsia Digital, memperkukuh kedudukan dengan perkhidmatan pesawat kargo pertamanya jenis Boeing 737-800F dan penukaran dua  pesawat penumpang AirAsia jenis A320 kepada pesawat kargo, tanpa tempat duduk untuk meningkatkan kapasiti kargo.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata pesawat kargo ini akan mula beroperasi di seluruh Asia pada suku tahun ketiga 2021 dan akan beroperasi dari hab Teleport di Bangkok.

“Tambahan kapasiti ini akan memperkukuh jaringan laluan antara China, India dan Asia Tenggara, serta meningkatkan lagi kesalinghubungan ke dan dari pasaran jarak jauh Teleport.

“Kedua-dua buah pesawat udara jenis A320 tanpa tempat duduk pula akan ditempatkan di Malaysia dan Thailand. Dari hab strategiknya iaitu Bangkok dan Kuala Lumpur, Teleport akan meneruskan jadual penerbangannya ke bandar-bandar utama seperti Hanoi, Bandar Raya Ho Chi Minh, Hong Kong, Jakarta dan Yangon,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz berkata pengembangan ini merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk membina kapasiti dan kesalinghubungan di laluan-laluan utama bagi menawarkan penghantaran terus kepada para pelanggan dalam masa 24 jam di seluruh Asia Tenggara. – Bernama