Teleskop angkasa NASA bakal dilancar Disember ini

WASHINGTON, 9 SEPT – Teleskop Angkasa Lepas James Webb yang astronomi harapkan akan menandakan era baharu penemuan akan dilancarkan pada 18 Disember, kata NASA, kelmarin.

Pencerapan bernilai AS$10 bilion itu yang merupakan projek bersama NASA, Agensi Angkasa Eropah dan Agensi Angkasa Kanada, akan berlepas bersama roket Ariane 5 dari Spaceport di French Guiana.

Ketika ini ia disimpan di kemudahan kontraktor Northrop Grumman di Pantai Redondo, California, di mana ia sedang menunggu untuk penghantaran.

“Webb adalah misi teladan menandakan epitome ketabahan,” kata pengarah program Webb NASA, Gregory Robinson dalam satu kenyataan.

“Kami sungguh berbangga untuk mengorbit Teleskop Angkasa James Webb NASA bersama Ariane, yang pertama buat Arianespace dan pasukan angkasa Eropah,” tambah Ketua Pegawai Eksekutif Arianespace, Stephane Israel.

Para penyelidik mahu menggunakan teleskop angkasa, yang terbesar dan paling berkuasa pernah dibina, untuk meninjau semula zaman 13.5 bilion tahun lalu untuk melihat bintang-bintang pertama dan galaksi yang terbentuk, ratusan juta tahun selepas Big Bang.

Ciri utama adalah keupayaannya untuk mengesan inframerah, iaitu ketika cahaya dari objek pertama mencapai teleskop kita, ia telah bergerak ke arah penghujung merah spektrum elektro magnetik disebabkan perluasan alam semesta.

Teleskop angkasa utama masa ini, Hubble, hanya mempunyai kapasiti inframerah terhad.

Astronomi juga berharap Teleskop Angkasa James Webb akan meningkatkan penemuan dunia makhluk asing. – AFP

Gambar bertarikh 8 September menunjukkan ujian terakhir Teleskop Angkasa James Webb, NASA sedia untuk dihantar ke tapak pelancarannya di Pantai Redondo, California. – AFP