Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telisai Harmonics muncul juara

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 8 Feb – Dengan membawakan lagu ‘Tekad Pewaris/Sumpah dan Janji’, Kumpulan Telisai Harmonics dari Mukim Telisai muncul juara Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim-mukim bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 peringkat Daerah Tutong yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

    Manakala itu, tempat kedua disandang oleh Kumpulan Wira Bangsa dari Mukim Pekan Tutong dengan membawakan lagu Sedia Berbakti dan Kumpulan Firqah Khairul Mu’minin dari Mukim Kiudang dengan lagunya Misi Merdeka menduduki tempat ketiga.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

    Pengerusi Bersama Pertandingan, Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar semasa menyampaikan ucapan berkata, pada tahun ini, sebanyak lapan kumpulan koir mengikuti pertandingan tersebut yang mana masing-masing mewakili mukim-mukim di Daerah Tutong, antaranya Mukim Keriam, Mukim Tanjong Maya, Mukim Ukong, Mukim Lamunin, Mukim Telisai, Mukim Pekan Tutong dan Mukim Kiudang.

    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan, Kumpulan Telisai Harmonics.
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan, Kumpulan Telisai Harmonics.
    Persembahan koir daripada Kumpulan Firqah Khairul Mu’minin dari Mukim Kiudang dengan lagunya ‘Misi Merdeka’.
    Persembahan koir daripada Kumpulan Firqah Khairul Mu’minin dari Mukim Kiudang dengan lagunya ‘Misi Merdeka’.

    Juara pertandingan koir itu nanti akan membuat persembahan di Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 yang akan diadakan pada 16 Februari ini secara serentak di keempat-empat daerah.

    Selain itu, juara pertandingan juga akan diberi peluang membuat video klip dan akan ditayangkan di Radio Televisyen Brunei dalam rancangan Teleton Hari Kebangsaan yang akan disiarkan pada 23 Februari ini nanti, jelasnya lagi.

    Antara tujuan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik ini diadakan adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta-peserta termasuklah penduduk-penduduk mukim dan kampung di samping dapat menjadikan platform bagi penyanyi berkumpulan terus berkarya.

    Selain itu, pertandingan tersebut juga akan dapat mengisi ruang dan peluang dalam program-program seperti Pentarama dan seumpamanya yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan di samping itu juga dapat memupuk semangat berdaya saing dan patriotik melalui lagu-lagu yang dipertandingkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda