Teliti dengan betul butiran BruHealth

Merujuk pendapat pembaca yang disiarkan di ruang ini bertajuk ‘Perlu telus mengendalikan kod QR BruHealth’ yang disiarkan 8 September lalu, saya bersetuju dengan pandangan penulis mengenai pemantauan kod BruHealth para pelanggan.

Pada pendapat saya sudah wajar para pemilik kedai untuk tegas melakukan pemeriksaan ke atas pelanggan dan malah memperketat lagi cara pemeriksaan BruHealth dengan meminta pelanggan menunjukkan kad pengenalan ketika mereka menunjukkan kod BruHealth mereka.

Perkara ini memang menyukarkan namun banyak kelebihannya. Ini kerana, dengan menunjukkan kad pengenalan, petugas yang memeriksa di pintu depan dapat memastikan dengan tepat pemilik kod BruHealth adalah sama dengan pemilik kad pengenalan itu. Justeru, tidak lagi berlakunya penipuan oleh pelanggan yang boleh saja menggunakan kod BruHealth orang lain.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Teguran dalam surat pendapat lalu, tidak menjadi mustahil para pelanggan ada yang sudah lebih awal membuat tangkapan skrin BruHealth yang walhal sebenarnya lebih awal dari hari sepatutnya. Ini boleh sahaja diberi laluan oleh petugas yang memeriksa kod BruHealth sambil lewa saja dengan hanya memadai warna kod yang dilihatkan tanpa meneliti nama dan nombor kad pengenalan pelanggan.

Jika kita benar-benar sama mahu membantu pihak kerajaan membendung penularan wabak, begitu sepatutnya dibuat dan sama-sama kita saling menjaga. Inilah masanya kita menunjukkan tanggungjawab dan sikap solidariti kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini.

Teguran 2