Teluk Maya ditutup untuk kunjungan pelancong

TELUK Thailand menjadi terkenal di sebabkan oleh filem ‘The Beach’ dan akan ditutup untuk selama-lamanya bagi membolehkannya pulih daripada kesan kepadatan pelancong yang sentiasa membanjiri kawasan tersebut, menurut seorang pegawai baru-baru ini, apabila larangan sementara terhadap lawatan pelancong telah mansuh.

Teluk Maya, yang dikelilingi dengan kawasan tebing di Pulau Ko Phi Phi Ley, menjadi terkenal setelah teluk ini menjadi latar kepada sebuah filem yang diterbitkan pada tahun 2000 dan dilakonkan oleh bintang terkenal Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Pada mulanya ia ditutup untuk kunjungan pelancong selama empat bulan pada bulan Jun yang lalu akibat hakisan pantai dan pencemaran ketika syurga pasir putih itu dilanda tekanan akibat ribuan pelancong dan penduduk tempatan datang membanjiri kawasan itu dengan menggunakan bot.

Tetapi tinjauan terhadap situasi keadaan teluk itu memperjelaskan bahawa penetapan jangka waktu pendek tidak akan berfungsi memulihkan kawasan itu, malah kerosakan terhadap teluk itu semakin teruk berbanding apa yang telah difikirkan sebelum ini.

“Kami telah menilai keadaan teluk ini setiap bulan dan mendapati sistem ekologi telah dimusnahkan dengan serius akibat pelancongan di mana teluk ini sering dipenuhi sekitar 5,000 pengunjung setiap hari,” kata Songtam Suksawang, pengarah pejabat Taman Negara, kepada media AFP.

“Sangat sukar untuk memulihkan teluk ini kerana pantainya telah dimusnahkan sepenuhnya, apatah lagi kemusnahan itu ditutup oleh tumbuh-tumbuhan, justeru, sukar untuk menilainya,” katanya.

Teluk Maya yang dikelilingi dengan kawasan tebing di Pulau Ko Phi Phi Ley menjadi terkenal setelah menjadi latar kepada sebuah filem yang diterbitkan pada tahun 2000 dan dilakonkan oleh bintang terkenal Hollywood, Leonardo DiCaprio. – AFP
Teluk Maya ditutup untuk kunjungan pelancong selama empat bulan sejak Jun yang lalu akibat hakisan pantai dan pencemaran. – AFP
Teluk ini sering dipenuhi sekitar 5,000 pengunjung setiap hari. – AFP

“Agak sukar untuk melakukan proses pemulihan dalam jangka waktu yang telah ditetapkan,” tambah Songtam Suksawang.

Songtam turut memperlihatkan beberapa foto kepada media AFP terhadap beberapa kemusnahan yang dihadapi oleh Teluk Maya, di mana pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang lebih kecil beransur-ansur tercabut ketika pasir putihnya semakin surut.

Jabatan Taman Negara, Pemuliharaan Hidupan Liar dan Taman Negara Thailand telah mengumumkan penutupan terhadap teluk terkenal itu dalam akhbar Royal Gazette yang diterbitkan pada 1 Oktober 2018 lalu.

Akhbar itu mengatakan bahawa sekatan ke atas pelancongan tidak akan ditarik balik sehingga ekosistem pulih sepenuhnya kepada tahap yang biasa atau normal. Selain hakisan pantai, lalu lintas perahu-perahu besar dan berat di sekitar perairan biru juga boleh merosakkan terumbu karang yang sangat sensitif, di mana terumbu ini sudah terdedah kepada peningkatan suhu laut dan juga perubahan iklim.

Arnaud Simons dari Ocean Quest Global, sebuah organisasi alam sekitar yang membantu pihak kerajaan dengan pemulihan terumbu karang di sekitar Teluk Maya, berkata bahawa pemulihan teluk ini boleh bertahan selama empat tahun dan penutupan tidak akan terbatas serta ia merupakan satu berita yang baik.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, musim tengkujuh dan keadaan laut yang bergelora telah menghalang usaha pemulihan terumbu, tetapi kami tidak ragu bahawa matlamat jangka waktu yang panjang akan dapat dipenuhi,” tambah Arnaud.

Pelancongan yang berlebihan

Thailand telah berjaya menarik sehingga 35 juta pengunjung pada tahun lalu, di mana kebanyakan daripadanya berkunjung ke bandar Krabi di mana tawaran perjalanan bot telah membawa pelawat ke destinasi pulau berdekatan di mana Teluk Maya merupakan tarikan yang utama buat pelawat-pelawat ini.

Nanthapat Horbut, yang mengendalikan sebuah syarikat pelancongan di Krabi merasa kecewa dengan penutupan itu kerana syarikatnya telah menjanjikan tawaran hebat ke Teluk Maya kepada para pelancong khususnya semasa musim pelancongan yang tinggi di mana bermula pada bulan November di Thailand.

“Semua pelancong berkeinginan untuk melihat Teluk Maya, kebanyakannya dari negeri China dan juga negara-negara barat,” tambah Nanthapat kepada media AFP.

Paul Pruangkarn dari Persatuan Pelancongan Asia Pasifik yang bekerja dengan badan bukan berasaskan keuntungan dan Operasi Thailand dalam mempromosikan pelancongan Thailand berkata bahawa keputusan itu adalah pedang bermata dua bagi masyarakat setempat.

“Anda juga perlu mempertimbangkan mata pencarian penduduk tempatan,” kata Pruangkarn.

“Mereka masih perlu untuk memberi makan dan memenuhi keperluan keluarga mereka. Pihak kerajaan perlu mempertimbangkan bagaimana mereka dapat membantu masyarakat ini,” tambah Pruangkarn.

Negara-negara di rantau ini telah bangun bagi mengatasi masalah sisa plastik dan kemusnahan alam sekitar yang disebabkan oleh kepadatan pelancong. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengumumkan pada bulan April lalu bahawa pusat peranginan terkenal di Boracay akan ditutup bagi kunjungan pelancong selama enam bulan yang dikenali sebagai destinasi ‘cesspool’.

Manakala, Indonesia pula mengisytiharkan ‘kecemasan sampah’ pada tahun lepas di sepanjang pantai Pulau Bali, setelah pencemaran pantai menjadi tular dalam satu tayangan video yang menunjukkan seorang penyelam melalui kawasan perairan yang dipenuhi dengan sampah dan juga plastik. – AFP