Telur bertangkai kejutkan penternak

15 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai 2002 – Telur bertangkai mungkin sesuatu yang sukar untuk dipercayai dan jarang sekali ditemui.

Bagaimanapun, seorang penternak ayam kampung dari Kampung Serusop yang mahu dikenali sebagai Awang Anuar terkejut besar apabila mendapati salah seekor ayam ternakannya mengeluarkan sebiji telur yang lengkap bertangkai.

Ketika Media Permata mengunjungi Awang Anuar di rumahnya, beliau menceritakan telur itu ditemuinya awal pagi ketika hendak memberi ayam ternakannya makan.

“Saya amat terkejut apabila mendapati sebiji daripada empat biji telur yang baru itu, mempunyai kulit lembut dan menjulur panjang seperti bertangkai,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebiji telur lagi turut mempunyai ‘tangkai’ namun telah pecah lebih awal. Menurutnya, itulah kali pertama beliau menjumpai telur ayam sedemikian rupa setelah empat tahun menternak ayam kampung.

Beliau mendakwa, sesuatu yang aneh dialaminya adalah pada malam sebelumnya beliau bermimpi telur bertangkai itu menjadi rebutan ayam ternakannya yang lain.

Beliau berkata telur bertangkai itu, yang menyerupai sebiji buah, adalah satu kejadian yang ganjil dan jarang sekali berlaku.

Bagaimanapun, beliau percaya apa yang dialaminya adalah kehendak Allah dan kejadian itu membuktikan akan kebesaran-Nya.

Di samping memiliki beberapa reban ayam berhampiran rumahnya, Awang Anuar turut membela arnah serta beberapa ekor burung peliharaan.