PERGUNUNGAN ANDES – Seorang jurugambar Itali berjaya merakam gambar seekor katak kecil yang menjaga telur labah-labah tarantula gergasi di hutan hujan Amazon baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Emanuele Biggi memaklumkan katak tersebut menangkap serangga seperti semut dan lalat parasit yang cuba menghampiri telur berkenaan dan pada masa sama labah-labah gergasi itu melindunginya daripada pemangsa lain.
Terkejut
“Saya pernah dengar tentang fenomena labah-labah dan katak hidup bersama sebelum ini tetapi saya masih terkejut apabila melihatnya dengan mata sendiri. Dua spesies khusus ini juga tidak pernah dilihat hidup bersama sebelum ini,” katanya.
Biggi turut mengambil beberapa keping gambar labah-labah betina itu memakan lipas, manakala beratus-ratus labah-labah kecil yang baru menetas membaham seekor katak pokok di sebuah sarang berasingan.
Jurugambar itu mendakwa dia meniarap sehingga matahari terbenam di dalam hutan tersebut untuk menangkap gambar hidupan liar yang keluar pada waktu malam khususnya katak dan labah-labah. – Agensi