Oleh Dino MN
Riuh sekampung. Saat semua orang mencari-cari telur yang hilang itu, saat hari merembang senja, kerana mereka semua ingin menemukan telur yang hilang itu.
Entah bila telur itu tiba-tiba ghaib dari tempat penyimpanannya yang hanya disedari oleh seorang ahli rumah yang ingin merebus telur sebiji itu untuk dijadikan sarapan yang akan dimakannya nanti bersama sebiji roti paun berinti hitam yang jadi kegemarannya.
“Mana perginya telur sebiji itu? Semalam aku simpan di sini,” tanyanya kepada pembantu rumahnya.
“Tidak tahu saya tuan,” jawabnya pendek. Memang benar juga dia tidak tahu apa-apa.
Jauh sekali dia melihat telur itu di situ. Padahal dia setiap hari membersihkan kawasan dapur rumah tuannya itu.

“Semalam aku simpan di tempat selamat di bilik sembahyang ini,” jari telunjuknya menghala ke penjuru kanan bilik sembahyang tersebut.
“Kenapa tuan tidak simpan di bilik dapur saja?” tanya pembantu rumahnya.
“Telur itu istimewa. Cuma sebiji itu saja yang ada dijual di kedai,” katanya. Dia masih ingat saat dia ingin membeli telur di kedai, semua kedai kehabisan stok. Enam buah pasar raya yang didatanginya semuanya kehabisan telur. Kemudian dia singgah di kedai runcit yang kecil itu, dia nampak ramai orang berbaris dan ada yang memotong barisan yang panjang itu semata-mata ingin mendapatkan telur, sehingga terjadi keributan di tempat itu.
Bertolak-tolakan sesama sendiri. Ada yang bertengkar dengan suara yang tinggi tidak mahu mengalah. Tuding-menuding menegakkan kebenaran dari kesalahan. Dia nampak ada yang bertumbuk, seorang kena tumbuk hidungnya berdarah terus mengalir ke bibir.
Seorang lagi terkena tumbukan di atas keningnya lalu matanya membengkak kehijauan kehitaman seperti mata beruang panda. Akhirnya dia sampai di barisan depan sekali di tengah-tengah keributan, pergaduhan dan pertengkaran itu.
“Alhamdulillah aku di depan sekarang,” katanya sambil menoleh ke belakang. Dia nampak masih berlaku keriuhan di sana.
Dia akhirnya sudah berada di depan simpanan telur.
Dia hairan semua telur di situ habis. Setiap orang mengakas-ngakas papan telur yang kosong. Namun belum juga mereka terjumpa telur yang dihajati.
“Mana lagi telur yang kami mahu? Mengapa tidak pesan banyak-banyak? Menyusahkan kami. Kami perlu telur,” kata seorang yang berbadan tegap kepada Caser.
Caser tidak dapat menjawab pertanyaan pelanggan tersebut. Raut mukanya sedikit ketakutan.
“Saya mana tahu. Itu urusan majikan saya,” jawabnya pendek.
Orang ramai yang menyelongkar papan-papan telur terus saja mencari telur. Dia pula memerhati keadaan sekelilingnya yang riuh-rendah sambil matanya liar melihat papan-papan telur yang bersepah-sepah.
“Aku jumpa sebiji telur, yahoo!” teriaknya sambil melompat dan telur sebiji itu digenggamnya erat agar tidak jatuh dan tidak pecah.
“Kita sama-sama mencari, jadi kita makan sama-sama.
“Aku yang jumpa, maka telur sebiji ini jadi aku yang punya.
“Nanti dulu,” kata Caser meredakan suasana.
“Kedai ini milik majikan saya, maka telur sebiji itu juga hak mutlak majikan saya.”
Suasana menjadi gawat. Semua orang mengaku yang telur sebiji itu hak mereka. Ada yang mendakwa konon dia yang jumpa dulu. Ada yang mengaku dari jauh dia sudah nampak.
Tapi susah mengambilnya kerana dia berada di tengah kesesakan orang ramai.
“Apa yang terjadi? Mengapa ada kerusuhan di sini?” tanya tuan punya kedai runcit yang kecil itu.
“Semua orang mencari telur bos, tengok tu. Banyak yang cedera akibat bergaduh sesama sendiri,” kata Caser. Tuan punya kedai runcit geleng-geleng kepala sambil tersenyum sinis.
“Mana telur itu? Telur itu saya yang punya bukan untuk dijual,” kata pemilik kedai itu.
“Tapi saya mau telur ini.
“Kalau kamu semua mahu, saya jual secara lelongan. Saya mulai dengan harga rendah,” kata tuan punya kedai.
“Berapa harganya?” tanya salah seorang daripada mereka yang ramai di situ.
“Saya mulai dengan harga 50 sen,” jawab tuan punya kedai.
Belum sempat tuan punya kedai bersuara, sudah ada yang menyahut.
“Aku bayar $1.
“Saya sanggup $1.50.
“Aku mau telur itu, Aku bayar $2.”
Tuan punya kedai diam saja mendengar harga-harga yang ditawarkan itu.
“Saya beli sebiji telur itu. Saya sanggup bayar $5,” kata seorang yang berbadan besar dan sasa yang berada di hujung sekali.
Semua orang menoleh kepadanya.
Tuan punya kedai tetap saja membisu dengan telur sebiji itu masih dalam genggamannya.
“$6.50 saya beli.”
Suasana semakin riuh. Semua orang angkat tangan mahu ikut lelongan.
“Saya tawar dengan harga $8,” kata seorang lagi.
Telur masih dalam genggaman tuan punya kedai. Orang yang menawar dengan harga $8 cuba merebut telur daripada genggamannya. Dia masih tidak mahu melepaskan telur itu.
“Tidak, tidak, saya yang jumpa telur ini tadi. Jadi ini hak saya,” katanya berkeras tidak mahu melepaskan telur sebiji yang masih dalam genggamannya itu.
“Kamu tidak ikut tawar harga lelongannya. Jadi sekarang telur itu saya sudah tawar $8.
Semua orang sudah tidak mahu menentang harga tawaran saya. Jadi sayalah yang memenanginya,” kata lelaki tadi.
“Oh begitukah?” tanya tuan punya kedai. Matanya memerhati orang ramai di situ. Semua mereka tidak bersuara, semua membisu, toleh-toleh sesama sendiri.
“$10.50,” katanya pendek dengan suaranya yang tinggi memecah suasana di sekelilingnya.
“Gila, betul-betul sudah gila,” kata salah seorang yang berada di situ. Dia agak muda sekitar usia 30an.
“Mana ada sebiji telur berharga sepuluh ringgit lima puluh sen,” sambungnya lalu keluar dari situ.
Orang ramai riuh berkata-kata. Persis bunyi sekawan itik dalam reban bila diberi makan.
Ingatannya kembali ke arah telur yang dicarinya tadi.
“Ada siapa-siapa yang masuk ke bilik sembahyang tadi?” tanyanya ingin tahu pada pembantu rumahnya.
“Tidak ada tuan, jangankan orang, kucing pun saya tidak benarkan masuk,” jawab pembantu rumahnya. Dia benar-benar tidak tahu.
“Jadi ke mana larinya telur itu? Kalaupun bergolek dari tempat saya simpan, pasti tidak jauh dari tempat itu.
“Telur itu saya beli secara lelongan. Saya tawar dengan harga $10.50.”
Pembantu rumahnya terkejut mendengar penjelasan majikannya itu.
“Sebab itu saya cari,” katanya.
“Mengapa tuan beli begitu mahal?” tanya pembantu rumahnya penuh hairan. Satu papan di pasaran berharga $6, sedangkan tuannya membeli sebiji telur yang dicari-carinya yang hilang secara misteri itu berharga $10.50.
“Terpaksa saya ikut lelongan itu, kalau tidak, saya tak dapat memiliki telur itu,” katanya.
“Kedai lain kan masih ada tuan,” sahut pembantu rumahnya.
“Semua kehabisan, nak buat apa lagi, cari telur itu sampai dapat,” katanya.
“Tuan cari di kedai lain saja pasti ada yang masih menjual telur yang banyak,” saran pembantu rumahnya.
“Buat apa lagi mencari telur?” katanya kepada pembantu rumahnya.
“Mengapa tuan tidak mahu mencarinya?” tanya pembantu rumahnya.
“Sebab telur sebiji itu sudah cukup untuk dijadikan makanan bagi saya mengadakan jamuan,” jawabnya. Pembantu rumahnya hairan. Sangat-sangat hairan memikirkan kata-kata tuannya.
“Sakit… sakit… sakit… Majikanku ini sakit mental kali,” bisik dalam hatinya sendirian.