‘Teman ke Syurga’ dikupas dalam program mingguan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat,’ diteruskan hari ini di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sekali gus memeriahkan lagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun bagi Daerah Brunei dan Muara.

Program hari ini diserikan dengan tazkirah Subuh bertajuk ‘Teman ke Syurga’ yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Hassan Baha bin Haji Umar.

Program kelolaan KHEU itu terus mendapat sambutan dengan kehadiran jemaah memakmurkan masjid, mendirikan solat Fardu Subuh berjemaah dan seterusnya mendengarkan tazkirah.

Tazkirah itu menyentuh mengenai agungnya nikmat syurga berbanding kesenangan dunia terutamanya apabila mempunyai teman yang menunjukkan dan membawa kita kepada kebaikan, bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan KHEU.