Lagu Temaniku yang merupakan tema filem animasi Mechamato keluaran Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) meraih 8,000 putaran di beberapa platform muzik penstriman.
Menurut Monsta, lagu tema filem berkenaan dendangan penyanyi dan penulis lagu popular, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin atau lebih dikenali sebagai Yonnyboi, dilancarkan pada 18 November lepas di semua platform muzik penstriman seperti Spotify, JOOX, Apple Music, KKBOX, Deezer dan iTunes Store.
Monsta memaklumkan, Ketua Pegawai Operasi Monsta, Kee Yong Pin meluahkan rasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi berpengaruh yang mampu menyelami cita rasa generasi muda masa kini.
“Kebersamaan dalam mencapai satu matlamat, itu adalah mesej terbesar dan bahan inspirasi untuk lagu tema ini. Sama ada ia adalah keutuhan perhubungan sesama sahabat, keluarga, pasukan atau teman istimewa, lagu ini mempunyai mesej yang sesuai untuk semua,” menurutnya dalam kenyataan baru-baru ini.
Ia juga memaklumkan lagu berkenaan turut dicipta bersama komposer, Fitri Zain dan diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Monsta.
“Saksikan juga lirik video Temaniku di Monsta YouTube Channel. Nantikan tayangan Mechamato Movie terbitan Monsta dan Astro Shaw di pawagam seluruh Malaysia mulai 8 Disember,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Monsta turut memaklumkan yang lagu Temaniku itu merupakan lagu original yang ketiga diterbitkan bersama oleh Monsta bagi filem mereka selepas lagu Fire & Water nyanyian Faizal Tahir daripada filem BoBoiBoy Movie 2 (2019) dan Masih Di Sini nyanyian Bunkface daripada filem BoBoiBoy The Movie (2016).
“Mechamato Movie adalah filem ketiga dalam francais animasi 3D, Monsta Heroes yang dihasilkan Monsta sejak sedekad lalu,” menurut kenyataan itu. – Bernama