Temasek lapor nilai portfolio awal berjumlah S$306 bilion

SINGAPURA, 21 JULAI – Temasek yang berpangkalan di sini, hari ini ini melaporkan nilai portfolio bersih (NPV) awal berjumlah S$306 bilion setakat 31 Mac 2020.

Firma pelaburan itu berkata jumlah NPV berkenaan telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 16 tahun, melonjak daripada S$90 bilion setakat 31 Mac 2004.

“Secara keseluruhan, kami gembira dengan prestasi ini walaupun berlakunya pembetulan yang ketara berikutan COVID-19,” kata ketua pegawai eksekutif  Temasek International, Dilhan Pillay dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pillay berkata Temasek mempunyai gabungan pelaburan tersenarai dan tidak tersenarai yang baik, keseimbangan yang padu antara pendokong portfolio dan pelaburan baharu ke arah trend aliran baharu dan jangka panjang.

“Ini membantu menambah daya tahan kami,” kata beliau.

Temasek telah menyediakan prestasi porfolio awalnya, menjelang pengumuman tahunan prestasi portfolio dan kewangan kumpulan disatukan September ini.

Prestasi akhir yang telah diauditkan itu dijangka dimuktamadkan pada September berikutan kelewatan dalam penerimaan keputusan syarikat dan sekutu yang telah diaudit dalam portfolio Temasek.

Kelewatan berkenaan disebabkan sekatan pergerakan, pemutus litar dan sekatan perniagaan dan komuniti lain yang timbul daripada tindak balas COVID-19 seluruh dunia.

Pillay berkata impak COVID-19 telah memburukkan lagi ketidakpastian para pelabur jangka panjang dan pemilik aset yang juga turut terjejas oleh ketegangan geopolitik dan perdagangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, “kita mungkin lihat para pelabur akan memberikan lebih tumpuan kepada beberapa bidang pendigitalan dan penjagaan kesihatan.” – Bernama