TEMBIKAI adalah sejenis buah-buahan yang sangat mengiurkan terutamanya di musim panas. Strukturnya yang agak rangup, lembut dan berair menyebabkan tiada siapa mampu untuk melepaskannya.
Dalam kerakusan menikmati sajian buah tembikai, ramai terlupa yang tembikai mempunyai banyak khasiat bukan sahaja kepada orang biasa, tetapi juga wanita hamil. Di sini dikongsikan lapan khasiat buah tembikai bagi wanita hamil:
1- Mengurangkan bengkak dan kekejangan otot
Ibu mengandung sangat sinonim dengan keadaan bengkak-bengkak kaki, tangan yang disebut sebagai edema disebabkan oleh perubahan hormon dan peningkatan berat badan. Kandungan air di dalam buah tembikai dapat mengurangkan pembuluh darah yang tersumbat dan kekejangan otot.
2-Mengelakkan dehidrasi
Dehidrasi yang berlaku terhadap ibu mengandung akan menyebabkan impli-kasi buruk seperti kelahiran pramatang.
Kandungan air yang tinggi di dalam tembikai iaitu meliputi kira-kira 90 peratus akan membantu dan memastikan si ibu tidak mengalami kekurangan air di dalam badan.

3-Mencegah pigmentasi
Ibu mengandung kerap mengalami pigmentasi kulit disebabkan perubahan hormon yang berlaku. Buah tembikai dapat membantu melancarkan pencernaan makanan dan menjaga pergerakan usus kecil dan mempengaruhi keadaan kulit. Kekerapan memakan buah tembikai, membuatkan kulit ibu menjadi lebih mulus dan masalah pigmentasi berkurang.
4-Mengatasi mabuk hamil
Ibu hamil majoritinya akan mengalami mabuk hamil. Tahap keterukan mabuk hamil setiap ibu hamil tidak sama. Namun kebanyakannya akan mengalami loya-loya, lesu dan letih terutamanya pada trimester pertama.
Khasiat dan tenaga yang ada di dalam buah tembikai dan sifatnya yang menyegarkan memberi manfaat terhadap ibu hamil. Rasa mual yang wujud daripada ketidakhadaman pemakanan juga akan hilang dengan kekerapan pengambilan buah tembikai.
5-Menjaga kesihatan jantung
Buah tembikai kaya dengan kandungan zat bernama Likopen. Ini menjadikan tembikai sebagai satu makanan yang sihat untuk ibu hamil serta berkhasiat menjaga kesihatan jantung bakal ibu dan anak damit.
6-Meningkatkan imuniti badan
Vitamin C yang terdapat dalam buah tembikai membantu meningkatkan sistem imun badan ibu hamil. Ia dapat mengelakkan ibu mudah terkena jangkitan selesema atau batuk terutama dalam perubahan cuaca yang tidak menentu.
7-Membantu pertumbesaran anak damit
Tembikai mempunyai kalium yang berfungsi sebagai bahan yang mempertahankan kandungan kalsium dalam badan. Kalium juga membantu dalam proses pembentukan tulang anak damit dan dalam masa yang sama menguatkan sendi ibu.
Tembikai juga kaya antioksida dan vitamin A yang menjaga organ penglihatan anak damit serta melindungi anak damit daripada radikal bebas.
8-Melancarkan air kencing
Ibu mengandung kerap mengalami kencing tidak lawas terutama ketika sarat mengandung dan kekerapan pengambilan tembikai akan melancarkan air kencing. – Agensi

































