TOKYO, 26 Mei 2018 – Sepasang buah tembikai kelmarin mencatatkan rekod lelongan bernilai 3.2 juta yen (AS$29,300) di Jepun, di mana buah itu dianggap sebagai simbol status.
Tawaran buah bermusim di Jepun secara rutin menarik sejumlah besar pembeli yang mencari prestij sosial atau dari pemilik kedai yang ingin menarik pelanggan bagi mencari status kemewahan.
Tawaran itu dilakukan oleh firma pembungkusan buah tempatan untuk tembikai Yubari pertama tahun ini di Pasar Borong Sapporo Central di utara Hokkaido, kata para pegawai.
Jumlah itu sudah cukup untuk membeli sebuah kereta baharu di Jepun dan mendahului rekod sebelumnya untuk buah mewah, yang bernilai 3.0 juta yen dua tahun lalu.
“Tembikai Yubari tumbuh dengan baik pada tahun ini berikutan dengan keadaan cuaca yang baik secara berpanjangan sejak awal Mei lalu,” kata pejabat pasar Tatsuro Shibuta.

Tembikai Yubari dianggap simbol status di Jepun seperti barangan mewah lainnya, dengan kebanyakannya dibeli sebagai hadiah untuk rakan-rakan dan rakan sekerja.
Tembikai Yubari yang berkualiti tinggi adalah sfera yang sempurna dengan kulit yang licin dan rata. Tangkai berbentuk T pula jelas kelihatan pada buah itu, yang biasanya dijual dalam kotak hiasan.
Malah buah biasa lainnya juga dijual dengan harga yang mahal di Jepun seperti harga sebiji epal yang berharga AS$3 sebiji, satu harga yang dianggap sangat mahal bagi para pembeli. – AFP